KUALA LUMPUR: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) melancarkan Hab Fintech PayNet, sebuah komuniti dan program pemecut pertama negara yang memberi tumpuan kepada pembangunan syarikat pemula dalam bidang teknologi kewangan (fintech).
Inisiatif ini bagi mempercepat pertumbuhan industri fintech tempatan dengan menyediakan akses terus kepada modal, rangkaian industri, insentif kewangan, serta peluang pembelajaran dan kerjasama strategik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Farhan Ahmad berkata, Hab Fintech PayNet dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan syarikat pemula tempatan dengan menyatukan ekosistem yang selama ini terpisah dan menawarkan sumber yang konkrit untuk pertumbuhan mampan.
“Kami mahu meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama fintech di rantau ini dengan memperkasa syarikat pemula untuk bersaing di peringkat global,” katanya semasa Majlis Pelancaran Hab Fintech di sini, hari ini.
Menurut Farhan, terdapat hampir 300 syarikat berkaitan fintech di Malaysia dan bagi memastikan program ini kekal kompetitif, PayNet menyasarkan untuk memilih kira-kira 50 syarikat setahun.
“Matlamat kami di PayNet adalah memastikan manfaat tersebut dapat dirasai seluruh negara termasuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan seperti kumpulan B40. Kami percaya PayNet berada dalam kedudukan unik untuk membantu mencapai keterangkuman ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial PayNet, Gary Yeoh berkata, buat masa ini Hab Fintech PayNet memfokuskan kepada syarikat fintech tempatan.
“Fokus kami ketika ini adalah kepada syarikat fintech Malaysia terutamanya kerana matlamat utama kami ialah untuk menyokong syarikat pemula tempatan serta rakyat Malaysia secara keseluruhan.
“Namun, visi jangka panjang hab ini bersifat lebih inklusif. Jika ada syarikat dari luar yang benar-benar berhasrat dan komited untuk membantu membangunkan ekosistem Malaysia, menyokong bank-bank tempatan, atau memperkasa komuniti di sini, kami terbuka untuk mempertimbangkannya,” tambahnya.
Jelas Gary, pendekatan program ini turut mengambil kira hakikat bahawa ia adalah satu usaha dinamik untuk terus menyesuaikan diri dan memberi respons terhadap keperluan industri.
“Kami mulakan dengan cara yang agak ringkas. Syarat asas untuk menyertai program ini ialah syarikat mestilah telah beroperasi sekurang-kurangnya selama setahun.
“Kami mahu menarik syarikat yang telah mula membina perniagaan mereka, walaupun masih di peringkat awal. Mereka yang mempunyai sedikit momentum pun sudah cukup dan dari situ kami akan lihat bagaimana kami boleh membantu mereka pergi lebih jauh,” ujarnya. – UTUSAN