KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan geoteknik, Fibromat (M) Bhd. menyasarkan pertumbuhan keuntungan tahunan sebanyak 20 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang, didorong pelbagai projek termasuk beberapa projek di Sabah dan Sarawak.
Ketua Pegawai Kewangannya, Nadiah Firdaus berkata, keuntungan selepas cukai daripada projek tidak dibilkan dijangka mencecah RM13 juta pada tahun ini, RM16 juta pada 2026 dan RM18 juta pada 2027, disokong oleh 42 projek yang sedang berjalan danhasil yang kukuh.
“Fibromat juga menyasarkan penglibatan dalam projek Jalan Hubungan Sarawak-Sabah bernilai RM7.4 bilion, yang kini dalam rundingan, walaupun belum ada kontrak diberikan.
“Syarikat melihat infrastruktur di Sabah dan Sarawak sebagai pemacu pertumbuhan utama,” katanya selepas Majlis Penyenaraian Fibromat di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.
Saham Fibromat jatuh 16 peratus pada dagangan pertamanya di Pasaran ACE di tengah-tengah pasaran yang lemah berikutan pemindahan penyenaraian firma perkhidmatan geoteknik itu daripada Pasaran LEAP.
Saham Fibromat dibuka pada 46 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 55 sen sesaham.
Pada pukul 9.15 pagi, saham itu didagangkan pada 46.5 sen selepas lebih 11 juta saham bertukar tangan.
Pengarah Eksekutifnya, Ng Chun Hou berkata, Fibromat telah memperoleh separuh daripada pakej projek untuk Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, di mana kemajuan kini semakin meningkat.
Hasil daripada projek ini dijangka menyumbang mulai 2025, walaupun tiada angka khusus dikongsi. – UTUSAN