PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) merekodkan untung bersih sebanyak RM36 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, berbanding rugi bersih sebanyak RM13 juta sebelumnya, didorong oleh prestasi bahagian perladangan yang lebih kukuh.
Menurut kenyataanya, hasil kumpulan meningkat 11 peratus kepada RM5.04 bilion bagi suku sama, berbanding RM4.54 bilion pada suku pertama 2024.
Keuntungan operasi sebelum perubahan nilai saksama dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan kemerosotan nilai meningkat 30 peratus kepada RM214 juta daripada RM164 juta dalam tempoh kewangan yang sama sebelumnya.
Bahagian perladangan kekal sebagai penyumbang utama, disokong oleh peningkatan enam peratus dalam hasil tandan buah segar (BTS) dan kenaikan 24 peratus dalam harga BTS.
Sementara itu, purata harga minyak sawit mentah (MSM) yang didaftarkan adalah lebih tinggi, mencecah RM4,784 setan.
Bahagian logistik dan sokongan juga menunjukkan prestasi yang stabil, dengan peningkatan dua peratus dalam pengeluaran pukal dan sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen teknologi maklumat (IT).
Dalam pada itu, bahagian produk pengguna (CP) mengecilkan kerugiannya, disokong oleh margin yang lebih baik dalam produk yang dibungkus dan jualan yang lebih tinggi daripada segmen pertanian bersepadu (IF).
Walau bagaimanapun, prestasi keseluruhan kumpulan telah diimbangi sebahagiannya oleh bahagian gula, yang menghadapi harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah dan bahagian minyak dan lemak juga dipengaruhi oleh permintaan yang lebih lemah dan margin minyak yang lebih rendah dalam segmen komoditi pukal.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakhrunniam Othman berkata, pertumbuhan yang stabil berbanding suku yang sama tahun lepas, mencerminkan daya tahan operasi syarikat dan kesan positif daripada penambahbaikan agronomi kami yang berterusan.
“Walaupun cabaran berterusan merentasi beberapa segmen perniagaan, kami menumpukan pada memacu kecekapan operasi, membuka kunci nilai daripada aset yang berprestasi rendah, dan meningkatkan lagi integrasi di seluruh kumpulan.
“Ini untuk memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan di seluruh bahagian perladangan, minyak dan lemak, gula, logistik dan sokongan serta bahagian produk pengguna kami,” katanya.
Memandang ke hadapan, FGV menjangkakan harga MSM turun daripada paras semasa kira-kira RM4,700 setan kepada sekitar RM4,000 setan pada bulan-bulan akan datang, apabila bekalan bertambah baik disebabkan cuaca menggalakkan, kitaran tanaman yang lebih tinggi secara bermusim dan ketiadaan permintaan berkaitan perayaan.-UTUSAN