Eco-Shop komited tawar barang keperluan mampu milik - Utusan Malaysia

Eco-Shop komited tawar barang keperluan mampu milik

JESSICA NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruncit nilai mampu milik, Eco-Shop terus komited menawarkan barangan keperluan pada harga mampu milik menerusi strategi pertumbuhan mampan dengan mengoptimumkan kos pembelian pukal.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng berkata, pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kos operasi, malah membantu Eco-Shop mengekalkan harga yang kompetitif secara berterusan, seterusnya menyokong kuasa beli pengguna dan memperkukuh daya tahan ekonomi domestik.

“Pengoptimuman kos ini sekali gus membolehkan kami menawarkan harga yang kompetitif dan menarik lebih ramai pelanggan serta meningkatkan volum jualan.

“Kami mengamalkan pendekatan langsung dalam urusan perolehan barangan dagangan, iaitu dengan penyumberan langsung daripada pembekal dan pengilang, sekali gus menghapuskan keperluan kepada pihak pengantara, pemborong atau pengedar.

“Dengan model ini, kami bukan sahaja menjimatkan kos, malah dapat memastikan kawalan yang lebih baik terhadap kualiti dan konsistensi produk kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Eco-Shop yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 23 Mei ini merancang untuk membuka sekitar 70 kedai baharu setiap tahun bagi tempoh lima tahun akan datang, dengan fokus khusus diberikan kepada kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang masih belum diterokai secara meluas.

Jessica berkata, meskipun pengembangan dilaksanakan di seluruh negara, strategi syarikat akan memanfaatkan potensi pasaran di lokasi-lokasi yang kurang mendapat liputan peruncit arus perdana, selaras dengan misi untuk menyediakan produk keperluan harian pada harga mampu milik kepada lebih ramai pengguna.

“Saiz dan reka bentuk kedai akan disesuaikan berdasarkan aktiviti ekonomi serta landskap runcit setempat, supaya operasi lebih efektif dan berdaya saing.

“Kami turut menyasarkan pertumbuhan jualan kedai sama (SSG) yang stabil sekitar lima hingga enam peratus dalam jangka sederhana, didorong oleh permintaan kukuh terhadap produk berharga rendah, pengembangan jenama sendiri serta kecekapan dalam rantaian bekalan.

“Langkah agresif ini dijangka menyumbang kepada pengukuhan pasaran runcit kos rendah di Malaysia, serta memberi rangsangan kepada ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi baharu di kawasan sasaran,” katanya.

Beliau berkata, Eco-Shop turut mengukuhkan kedudukannya sebagai peruncit berkonsepkan mampu milik dengan mengekalkan harga tetap serendah RM2.60 di Semenanjung Malaysia dan RM2.80 di Sabah, Sarawak dan Langkawi.

Ujarnya, ini selaras dengan matlamat untuk memudahkan kehidupan rakyat melalui akses kepada barangan keperluan harian yang rendah harga dan berkualiti.

“Strategi ini disokong oleh penawaran pelbagai barangan keperluan dan produk dagangan am, termasuk produk jenama sendiri yang memberikan nilai tambah kepada pengguna dalam persekitaran ekonomi yang mencabar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN