ECE 2025 perkukuh Terengganu sebagai hab peralihan tenaga - Utusan Malaysia

ECE 2025 perkukuh Terengganu sebagai hab peralihan tenaga

AHMAD Faisal Tun Abdul Razak (tengah) bersama Burhanuddin Hilmi Mohamed Harun (kiri) dan Mohd. Yusri Mohamed Yusof (kanan) dalam sidang media pelancaran East Coast Energy (ECE) 2025 di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: East Coast Energy (ECE) 2025, sidang kemuncak peralihan tenaga untuk wilayah Pantai Timur Malaysia yang bakal diadakan buat julung kalinya akan meletakkan Terengganu sebagai hab peralihan tenaga.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen proaktif kerajaan negeri dalam memposisikan Terengganu sebagai hab masa depan bagi peralihan tenaga negara.

“Kami melihat platform ini sebagai mekanisme utama untuk menyelaras dasar awam, inovasi industri dan kerjasama serantau dalam menyokong agenda transformasi tenaga negara.

“Acara ini juga menjadi peluang strategik untuk menarik pelaburan dalam sektor tenaga bersih, meningkatkan kesedaran awam terhadap aspirasi sifar bersih serta menggalakkan kerjasama lebih kukuh di seluruh koridor ekonomi Pantai Timur.

“Terengganu turut komited menerajui agenda tenaga boleh diperbaharui termasuk tenaga suria, teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS), hidrogen hijau serta pembangunan infrastruktur mampan,” katanya pada sidang akhbar penganjuran ECE 2025: Inovasi Tenaga, Memperkasa Pantai Timur, di sini semalam.

Acara berkenaan dijadual berlangsung pada 23 hingga 24 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, acara berkenaan dijangka menarik kehadiran lebih 800 delegasi termasuk pembuat dasar, pemimpin industri, penyedia teknologi dan pendokong kelestarian.

“ECE 2025 bakal menjadi platform utama rantau ini untuk menjalin kerjasama, berkongsi ilmu serta meneroka peluang pelaburan, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh peranan Pantai Timur dalam strategi tenaga nasional,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petroleum Nasional Berhad (Petronas), Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, Petronas komited membuka lebih banyak peluang dengan memupuk ekosistem inovasi serta kerjasama berimpak tinggi ke arah masa depan yang mampan.

“Dalam usaha mencapai matlamat kemampanan, inovasi dan kerjasama amat penting.

“Petronas berbesar hati menjadi sebahagian daripada ECE 2025, yang merupakan platform tepat pada masanya untuk menekankan kepentingan strategik Pantai Timur dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya