PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mengambil keputusan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) ketiga esok.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah itu adalah bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal stabil dengan menggalakkan aktiviti penggunaan serta pelaburan domestik.
“Ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan sekitar 4.5 peratus bagi suku pertama 2025, disokong oleh pertumbuhan eksport yang pesat dan permintaan dalam negara yang kukuh.
“Pertumbuhan eksport pada Mac dipacu oleh langkah para pengimport Amerika Syarikat (AS) yang mempercepat pesanan untuk mengelakkan pengenaan tarif balas oleh negara itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, permintaan domestik pula terus menunjukkan sokongan terhadap pertumbuhan melalui kadar pengangguran yang rendah serta aktiviti penggunaan dan pelaburan yang masih aktif.
Namun begitu, Afzanizam menjangkakan bahawa impak kelembapan ekonomi global akan menjadi lebih ketara pada separuh kedua tahun ini apabila kesan tarif AS mula dirasai secara menyeluruh terhadap perdagangan global.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Perakaunan, Perniagaan dan Ekonomi, Kolej Universiti i-CATS, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara, terdapat kemungkinan BNM menurunkan kadar OPR ke 2.75 peratus sebagai langkah menarik pelaburan asing.
“Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mungkin menurun ke paras 3.9 peratus hingga 4.1 peratus bergantung kepada unjuran pelbagai institusi.
“Ini disebabkan oleh impak pengenaan tarif oleh AS. Namun begitu, asas ekonomi domestik masih kukuh dan pelaburan berkualiti tinggi dijangka terus menyokong pertumbuhan negara,” jelasnya.
Menurutnya, meskipun Malaysia tidak terlibat secara langsung dalam ketegangan perdagangan antara AS dan China, hubungan baik yang dikekalkan dengan kedua-dua kuasa ekonomi itu memberi kelebihan dari sudut perdagangan.
“Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk menjalinkan urusan perniagaan tanpa perlu memihak, yang boleh dimanfaatkan dalam suasana geopolitik yang mencabar,” katanya.
Kali terakhir BNM menaikkan OPR adalah pada Mei 2023, apabila kadar tersebut dinaikkan daripada 2.75 peratus kepada 3.0 peratus. – UTUSAN