Astrum Shah Alam tawar gaya hidup bandar berorientasikan transit

Astrum Shah Alam tawar gaya hidup bandar berorientasikan transit

ASTRUM Shah Alam menawarkan 1,252 unit pangsapuri servis dalam tiga blok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBANGUNAN bercampur Astrum Shah Alam di Seksyen 14 oleh Setia Awan Group menawarkan pangsapuri servis moden dengan akses terus ke pengangkutan awam dan pelbagai kemudahan gaya hidup, menjadikannya pilihan ideal bagi golongan profesional, keluarga muda dan pembeli rumah pertama yang mencari keseimbangan antara keselesaan dan mobiliti.

Pengurus Besar Jualan, Pemasaran dan Komunikasi Korporat Setia Awan, Kelvin Tan berkata, Astrum Shah Alam bukan sekadar kediaman, tetapi simbol kepada cara hidup bandar moden yang mengutamakan konektiviti dan kesejahteraan.

“Kami memahami keperluan generasi hari ini yang mahukan kediaman di lokasi strategik dengan kemudahan lengkap, serta mampu dimiliki.

“Dengan menggabungkan elemen pembangunan berorientasikan transit (TOD), gaya hidup moden dan harga yang kompetitif, Astrum Shah Alam memberikan penyelesaian menyeluruh kepada gaya hidup urban masa kini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Astrum Shah Alam terletak bertentangan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) 3 Datuk Menteri, yang menawarkan laluan berbumbung sepanjang 100 meter ke stesen tersebut, sekali gus memudahkan perjalanan harian ke Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan seluruh Lembah Klang.

Mengulas lanjut, Kelvin berkata, lokasi strategik Astrum Shah Alam yang turut dihubungkan dengan lebuh raya utama seperti Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE)menjadikan projek ini pilihan ideal bagi mereka yang mengutamakan akses dan keseimbangan kerja-hidup.

Menurutnya, projek ini juga terletak berhampiran pelbagai kemudahan penting termasuk AEON Mall Shah Alam, Lotus’s, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam, KPJ Selangor, Hospital Shah Alam dan Hospital Avisena, yang semuanya berada dalam radius 10 kilometer.

“Astrum Shah Alam menawarkan 1,252 unit pangsapuri servis dalam tiga blok, dengan keluasan antara 570 hingga 1,065 kaki persegi serta pilihan unit lengkap berperabot atau tidak berperabot.

“Rekaan susun atur unit fleksibel dan praktikal, sesuai untuk keluarga moden. Beberapa unit turut menawarkan pemandangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang ikonik,” ujarnya.

Dek fasiliti di aras sembilan menempatkan lebih 50 kemudahan eksklusif yang direka untuk menyokong keseimbangan gaya hidup fizikal, mental dan sosial bagi semua peringkat umur.

“Antara kemudahan yang ditawarkan termasuk kolam renang 50 meter, gimnasium lengkap, bilik permainan, laluan refleksologi, taman Zen dan taman herba, semuanya dilengkapi sambungan WiFi untuk menyokong gaya hidup digital dan kerja jarak jauh,” katanya.

Kelvin berkata, kemudahan komersial juga disediakan menerusi 14th Avenue Shah Alam, deretan restoran al fresco yang bakal dikendalikan oleh Setia Awan sendiri di aras bawah hingga dua.

“Unit komersial dirancang untuk melengkapi gaya hidup penghuni dengan pelbagai pilihan makanan dan perkhidmatan asas,” katanya.

Projek ini merupakan kesinambungan kejayaan Astrum Ampang, tetapi menawarkan unit yang lebih luas dan sesuai untuk pasaran Shah Alam yang lebih cenderung kepada pembeli keluarga dan pasangan muda.

Dengan harga bermula sekitar RM600,000, Astrum Shah Alam menawarkan nilai luar biasa kepada mereka yang mencari rumah pertama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN