KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) tidak mahu negara ASEAN berunding sebagai satu blok dalam isu perdagangan, sebaliknya lebih cenderung kepada rundingan dua hala yang berasingan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Ekonomi dan Perdagangan Dua Hala), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Raveendran Nair berkata, pendekatan berkelompok dianggap AS sebagai tindakan ‘berpakat’ yang boleh menimbulkan ketegangan dalam hubungan perdagangan.
Menurutnya, walaupun ASEAN merupakan sebuah blok ekonomi, setiap negara anggota mempunyai kepentingan, produk dan struktur tarif yang berbeza, justeru memerlukan pendekatan rundingan secara individu dengan AS.
“Kita terpaksa berunding secara dua hala. Kalau kita pergi sebagai satu blok, ia mungkin dilihat seperti kita berpakat menentang AS. Jadi, kita sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan.
“Kita adakan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN untuk menyelaraskan pendirian bersama, dan mesej itu telah disampaikan. Namun, AS tetap mahukan rundingan dua hala,” katanya semasa diskusi panel bertajuk Menangani Landskap Tarif: Kesan terhadap Perniagaan Malaysia & Ekonomi Global di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan, Pasaran Global, Hong Leong Bank (HLB) Hor Kwok Wai; Ketua Ahli Ekonomi, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Felicia Ling dan Pengarah Cukai PwC Malaysia, Chandrasegaran Perumal.
Sementara itu, Pengerusi Perdagangan Antarabangsa, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Eugene Tan berkata, dasar tarif AS menimbulkan ketidakpastian besar dalam kalangan pengeksport, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, meskipun secara teknikal kos tarif ditanggung oleh pengimport, pembeli dari AS lazimnya akan datang berunding dan meminta pengeksport tempatan menurunkan harga bagi menampung kos tersebut.
“Bagi PKS yang tidak mengeksport secara langsung ke AS, kebimbangan mereka lebih tertumpu kepada kelembapan ekonomi global dan risiko lambakan produk asing, terutamanya dari China.
“PKS kita adalah pemain kecil jauh lebih kecil berbanding syarikat-syarikat dari China. Jika mereka mula melambakkan produk dan perkhidmatan di sini, kita tidak akan mampu bersaing,” ujarnya.
Menurutnya, impak dasar tarif bukan sahaja dilihat dari aspek eksport langsung Malaysia ke AS, yang kini merangkumi sekitar 13 peratus daripada jumlah eksport negara, tetapi juga dari sudut eksport tidak langsung iaitu produk Malaysia yang dihantar ke negara lain dan akhirnya sampai ke AS.
“Bila kita ambil kira kedua-duanya, jumlahnya meningkat kepada 15 peratus daripada eksport global Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kesinambungan dasar tarif oleh AS akan memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
“Jika dasar ini diteruskan, KDNK negara pasti terjejas. Malah, kami telah pun menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi mengambil kira perkembangan ini,” katanya. – UTUSAN