WTEC Group sasar RM22.5 juta melalui IPO di Pasaran ACE

WTEC Group sasar RM22.5 juta melalui IPO di Pasaran ACE

TAN Kok Kheng (tiga dari kiri) bersama barisan pengurusan kumpulan semasa pelancaran prospektusnya di EQ Hotel, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengeluar produk buih dan bukan buih, WTEC Group Berhad (WTEC Group) menyasarkan mengumpul dana sebanyak RM22.5 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities). 

Permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai 9 April 2025 dan akan ditutup pada 15 April 2025 pukul 5 petang, sekali gus kumpulan dijadualkan akan disenaraikan di Pasaran ACE pada 29 April 2025.

Berdasarkan harga IPO sebanyak 25 sen sesaham dan modal saham diterbitkan yang diperbesarkan sebanyak 480 juta saham, WTEC Group akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM120 juta apabila disenaraikan.

Pengarah Urusan Kumpulan WTEC Group, Tan Kok Kheng berkata, fasiliti yang akan dibeli di Kajang atau Semenyih akan membolehkan syarikat menyatukan pelbagai operasi di bawah satu bumbung, merasionalisasikan aliran kerja pengeluaran dan menempatkan jentera canggih.

“Fasiliti baharu ini adalah langkah strategik yang akan membolehkan kami meningkatkan keupayaan pengeluaran, mengoptimumkan kecekapan operasi dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan tempatan dan antarabangsa.

“WTEC kini beroperasi dari tiga kilang yang disewa. Penggabungan operasi ke dalam satu hab pembuatan dijangka dapat meningkatkan kawalan pengurusan, pengawasan kualiti dan pengendalian bahan secara signifikan.

“Pada masa ini, bahan pukal kami perlu dihantar antara tapak berbeza, yang memakan masa dan tidak cekap. Dengan kilang baharu ini, kami ingin memusatkan operasi dan meningkatkan produktiviti keseluruhan,” katanya semasa pelancaran prospektus sempena penyenaraian kumpulan di Pasaran ACE di sini, semalam. 

Hasil IPO itu akan digunakan sebanyak RM9.43 juta (41.81 peratus) untuk pembelian dan pengubahsuaian kilang baharu, RM3 juta (13.31 peratus) bagi pembelian jentera dan peralatan baharu serta RM1 juta (4.44 peratus) untuk perbelanjaan jualan dan pemasaran.

Sementara itu, RM5.12 juta (22.70 peratus) dan RM4 juta (17.74 peratus) masing-masing akan diperuntukkan untuk modal kerja dan anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Jelasnya, hasil IPO itu akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan keupayaan pengeluaran kumpulan serta memperluas jangkauan pasaran dan membolehkannya memenuhi permintaan industri yang sentiasa berubah dengan lebih cekap.

“Satu daripada aspek utama dalam strategi pertumbuhan kami ialah penubuhan kemudahan pembuatan baharu yang telah siap dibina yang akan menggabungkan beberapa kemudahan sedia ada 

“Ini bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan menyediakan ruang tambahan untuk mesin dan peralatan baharu, yang dijangka bermula pada suku kedua 2026.

“Pada masa yang sama, kami juga akan membeli mesin dan peralatan baharu untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan kapasiti pembuatan, dengan penekanan kepada automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh dan memperbaiki kualiti output,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya terus melihat peluang dalam sektor automotif dan elektrik dan elektronik (E&E), di mana permintaan terhadap produk buih dan bukan buih berkualiti tinggi terus meningkat. 

“Dengan sokongan kepakaran industri serta rangkaian pelanggan yang luas, kami komited untuk mengejar pertumbuhan yang mampan,” ujarnya. 

IPO WTEC Group melibatkan terbitan awam sebanyak 90.2 juta saham biasa baharu, yang mewakili 18.8 peratus daripada jumlah saham diterbitkan yang telah diperbesarkan serta tawaran untuk penjualan sebanyak 43.2 juta saham sedia ada atau 9.0 peratus daripada modal saham diterbitkan yang diperbesarkan. 

Alliance Islamic Bank Berhad merupakan Penasihat Utama, Penaja, Penjamin Tunggal dan Ejen Penempatan bagi latihan IPO ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya