KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&NHB) merosot 15.16 peratus kepada RM140.34 juta bagi suku kedua berakhir 31 Mac 2025, daripada RM165.41 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi tersebut disebabkan peningkatan perbelanjaan cukai, kerugian daripada permulaan ladang tenusu dan penurunan hasil.
Perbelanjaan cukai meningkat sebanyak 28.23 peratus kepada RM49.6 juta dalam suku itu, berbanding RM38.68 juta pada tahun sebelumnya, disebabkan cukai pegangan yang lebih tinggi ke atas dividen yang dibawa pulang daripada segmen makanan dan minuman (F&B) Indochina.
Hasil suku tahunan merosot 1.35 peratus kepada RM1.33 bilion daripada RM1.35 bilion setahun lalu, disebabkan oleh jualan perayaan yang lebih perlahan dalam segmen F&B di Malaysia berikutan sentimen pengguna yang lemah, banjir di Malaysia Timur serta jualan yang lebih rendah daripada F&B Indochina.
Bagi tempoh separuh pertama berakhir 31 Mac 2025, untung bersih F&N menyusut kepada RM309.4 juta daripada RM336.1 juta pada separuh pertama 2024.
Bagaimanapun, pendapatan kumpulan pada separuh pertama 2025 mencatatkan peningkatan kecil sebanyak 1.4 peratus kepada RM2.72 bilion, berbanding RM2.69 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, prestasi itu mencerminkan daya tahan perniagaan teras kumpulan dalam menjana dan memperoleh nilai walaupun di tengah-tengah sentiment perdagangan dan pengguna yang lemah.
“Ini membuktikan yang keyakinan kumpulan untuk melabur dalam pelbagai pelaburan berskala besar yang berpandangan jauh itu munasabah.
“Selain itu, kemajuan yang ketara di F&N AgriValley, satu pencapaian penting dalam strategi jangka panjang F&NHB untuk menggantikan import tenusu merentas semua pasaran.
“Menerusi ketibaan kumpulan percubaan berjumlah 165 lembu tenusu pada Mac dan kumpulan komersial pertama berjumlah 2,500 lembu pada April, kedua-dua kumpulan ini telah berjaya menyesuaikan diri dan telah ditempatkan di ladang.
“Setakat ini, lebih 70 anak lembu telah dilahirkan daripada baka lembu Chile, menjadikan jumlah keseluruhan lembu di ladang kami lebih daripada 2,700 ekor,” katanya.
Dengan bermulanya proses pemerahan susu, F&NHB menjangkakan untuk memperkenalkan secara berperingkat susu segar tempatan dari Gemas melalui jenama Magnolia.
Selain itu, pemerahan susu kumpulan komersial 2,500 ekor lembu dijadualkan bermula pada Jun 2025.
Mengenai prospek tahun ini, beliau berkata, berlatarbelakangkan ekonomi global yang tidak menentu, ketidaktentuan pasaran, sentime perdagangan dan pengguna yang lebih lembut, serta landskap kawal selia yang berkembang, kumpulan akan memantau dan mengurus risiko secara proaktif sambil mengekalkan disiplin kewangan.
“Pada masa sama, kami kekal fokus untuk memacu pertumbuhan, mengukuhkan keupayaan laluan ke pasaran, mengoptimumkan aset dan kecekapan operasi, dan terus melabur dalam bidang yang akan menyokong penciptaan nilai jangka panjang dan mengukuhkan asas-asas kumpulan,” katanya.
Lembaga Pengarah turut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 30 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025 berjumlah RM110 juta yang akan dibayar pada 30 Mei ini. – UTUSAN