Tarif solar 34% jejas pasaran tenaga boleh diperbaharui global - Utusan Malaysia

Tarif solar 34% jejas pasaran tenaga boleh diperbaharui global

HANIFAH Hajar Taib (tengah) bersama Mohd. Yazid Ja’afar (dua dari kanan) dan Pengarah Wilayah Majlis Industri Tenaga (EIC),Azman Nasir (kanan) ketika OGSE 100 CEOs Forum 2025 di Impiana KLCC Hotel di sini hari ini. - UTUSAN/MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengenalan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas produk solar, termasuk dari Malaysia sebanyak 34 peratus, dijangka memberi kesan kepada pasaran tenaga boleh diperbaharui di peringkat global.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Mohd. Yazid Ja’afar berkata, faktor geopolitik masih memainkan peranan besar dalam mempengaruhi harga minyak serta keselamatan tenaga sejagat.

“Insiden kebocoran gas baru-baru ini di Putra Heights mengingatkan kita tentang pentingnya aspek keselamatan tenaga dalam era peralihan ini, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak terhadap sumber tenaga yang pelbagai, mampu milik serta menjamin bekalan yang stabil dan berterusan,” katanya ketika berucap dalam majlis OGSE100: Forum CEO 2025 di sini, hari ini.

Menurutnya, dunia kini menyaksikan ketidakseimbangan dalam pendekatan terhadap kelestarian, terutamanya di antara negara-negara maju seperti Eropah dan AS dengan negara lain.

“Keadaan ini boleh memberi kesan kepada kadar penerapan prinsip kelestarian serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam industri kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Yazid berkata, meskipun industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) berdepan cabaran seperti kos dan kekurangan bakat, ia tetap perlu memberi tindak balas terhadap perubahan landskap perniagaan global.

“Ini termasuklah adaptasi terhadap teknologi baharu, pendigitalan, serta penerokaan sumber tenaga alternatif seperti hidrogen dan segmen baharu seperti pengurusan karbon (CCUS).

“Tekanan terhadap syarikat OGSE untuk berinovasi dan melakukan transformasi semakin meningkat. Langkah ini bukan sahaja penting untuk kekal berdaya saing, malah untuk menerajui masa depan sektor tenaga,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, syarikat-syarikat dalam industri OGSE tempatan diseru untuk meneroka alternatif yang berdaya maju dalam operasi perniagaan serta dalam usaha memanfaatkan sumber semula jadi secara lestari.

Katanya, langkah tersebut dapat membantu negara mempelbagaikan sumber tenaga seiring dengan agenda peralihan tenaga nasional.

“Saya yakin ramai dalam kalangan anda telah mengetahui kemajuan yang dicapai oleh Sarawak dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

“Antara usaha tersebut termasuk penggunaan sungai untuk tenaga hidro, penerokaan hidrogen bagi kenderaan elektrik serta kajian terhadap potensi alga sebagai bahan api penerbangan mampan.

“Namun begitu, kita masih memerlukan lebih banyak idea yang inovatif serta penglibatan aktif daripada sektor swasta untuk memastikan kejayaan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya