PETALING JAYA: Petronas Gas Berhad (PGB) dengan kerjasama Prihatin Selangor mengagihkan lebih RM700,000 dalam bentuk bantuan kewangan bagi komuniti yang terjejas dan kehilangan harta benda sepenuhnya dalam insiden letupan paip gas di Putra Heights.
PGB berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk memberikan bantuan selanjutnya seperti perumahan sementara selepas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mereka yang memerlukan penginapan jangka panjang.
“Setiap keluarga akan menerima bantuan sebanyak RM5,000 atau RM2,500 bergantung kepada sejauh mana kerosakan harta benda mereka.
“Entiti Kumpulan Petronas yang lain iaitu Petronas Dagangan Berhad dan Yayasan Petronas juga turut menyumbang pek penjagaan yang mengandungi bekalan bagi memenuhi keperluan asas individu dan keluarga yang dipindahkan,” katanya dalam kenyataan.
PGB komited untuk terus menyokong kerajaan dalam inisiatif pembinaan semula komuniti, sambil bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengenal pasti punca kejadian tersebut.
“Keutamaan utama PGB adalah memastikan keselamatan awam, serta operasi mereka, sementara memastikan keselamatan bekalan gas negara.
“PGB berpegang teguh pada komitmennya untuk memberikan sokongan kepada individu dan keluarga yang terjejas oleh kebakaran paip gas baru-baru ini berhampiran Putra Heights, Subang Jaya sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan cabaran yang dihadapi oleh komuniti,” katanya.
Susulan kejadian itu, PGB mengaktifkan pasukan tindak balas krisis dan kecemasan serta segera menggerakkan sumber daya termasuk sukarelawan daripada kalangan kakitangannya yang menjadi antara yang pertama membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di PPS.
“Pusat pemindahan ini telah ditubuhkan untuk menyediakan perlindungan sementara yang selamat bagi individu dan keluarga yang dipindahkan dari rumah mereka.
“Sejak hari pertama hingga kini, lebih daripada 100 kakitangan telah menjadi sukarelawan untuk menguruskan pengagihan makanan di PPS.
“PGB juga menyediakan kira-kira 1,000 pek makanan setiap hari untuk mereka yang terjejas di pusat pemindahan dan barisan hadapan di lokasi kejadian,” katanya.
PGB juga secara sukarela bekerjasama rapat dengan hospital yang dikenal pasti dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memudahkan keperluan perubatan mangsa yang menerima rawatan kecemasan.
“PGB bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam menyalurkan bantuan untuk meringankan beban mereka yang terjejas oleh kejadian tersebut,” katanya. – UTUSAN