PETALING JAYA: Pasaran pejabat utama Kuala Lumpur terus menunjukkan peningkatan pada suku pertama 2025, dengan kadar sewa pejabat utama kekal stabil pada RM6.01 setiap kaki persegi sebulan, menurut firma perunding hartanah global Knight Frank.
Permintaan terhadap pejabat utama disokong oleh trend penyewaan berpindah kepada ruang berkualiti tinggi serta pengembangan oleh syarikat teknologi dan syarikat multinasional.
Pengarah eksekutif kanan strategi dan penyelesaian pejabat Knight Frank, Teh Young Khean berkata, kadar kekosongan yang semakin menurun sejak suku keempat 2023 menunjukkan bahawa pasaran pejabat semakin pulih dan lebih berdaya tahan.
“Pengambilan ruang pejabat yang sihat dalam pasaran telah meningkatkan prestasi bangunan pejabat utama.
“Pasaran pejabat Kuala Lumpur kini menunjukkan prestasi yang lebih baik dan tidak lagi mencatat kadar kekosongan tertinggi di Asia Pasifik (Apac).
“Persekitaran politik dan ekonomi yang stabil merupakan salah satu pemangkin utama kepada pengembangan perniagaan, terutamanya dalam sektor perkhidmatan,” katanya.
Knight Frank turut menjangkakan sektor pejabat di Malaysia akan kekal stabil sepanjang 12 bulan akan datang, dengan keadaan pasaran yang memihak kepada penyewa dijangka berterusan, sejajar dengan penilaian semula keperluan ruang jangka panjang oleh perniagaan serta penerimaan strategi pejabat yang lebih fleksibel dan bersedia untuk masa depan.
Menurut firma itu, dengan perubahan tahunan sebanyak 2.6 peratus dan peningkatan suku tahunan sebanyak 0.8 peratus pasaran pejabat Kuala Lumpur menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang stabil dan beransur-ansur.
“Bagaimanapun, paras bekalan yang tinggi serta perubahan dalam jangkaan tempat kerja mungkin terus memberi tekanan terhadap pertumbuhan sewa.
“Penyewa dijangka akan mengutamakan strategi ‘flight-to-quality’, manakala tuan tanah pula mungkin akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan spesifikasi bangunan dan ciri kemampanan untuk kekal berdaya saing dalam pasaran yang semakin teliti,” katanya. – UTUSAN