PETALING JAYA: Penang Port Sdn. Bhd. (Penang Port) mencatatkan pencapaian dengan meraikan lima juta jumlah penumpang feri pada 30 April 2025 yang diadakan di terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH).
Kejayaan itu turut mengiktiraf sokongan tidak berbelah bahagi daripada orang awam serta dedikasi kru feri.
Pengerusi Penang Port, Datuk Seri Syed Mohamad Syed Murtaza berkata, pencapaian itu membuktikan bahawa perkhidmatan feri terus menjadi nadi penghubung utama antara Pulau Pinang dan tanah besar.
“la juga mencerminkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan kami, dan kami komited untuk terus menambah baik pengalaman menaiki feri,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port, Datuk Sasedharan Vasudevan berkata, kejayaan itu menjadi pemangkin untuk mereka menambah baik perkhidmatan, agar lebih efisien dan mesra pengguna.
“Kami amat berterima kasih kepada para penumpang atas sokongan berterusan mereka serta kepada kru kami yang berdedikasi atas usaha gigih mereka,” ujarnya.
Selain meraikan pencapaian jumlah penumpang, Penang Port turut mengambil peluang untuk menzahirkan penghargaan kepada kru feri atas dedikasi dan kerja keras mereka.
Cenderahati khas turut disampaikan kepada para kru sebagai tanda pengiktirafan atas komitmen mereka dalam memastikan perkhidmatan feri kekal selamat dan boleh dipercayai.
Perkhidmatan feri Pulau Pinang kekal sebagai penghubung pengangkutan yang penting, memudahkan urusan ribuan penumpang setiap hari termasuk komuniti setempat dan pelancong.
Dalam pada itu, Penang Port komited untuk mengekalkan dan menambah baik perkhidmatan penting itu demi memastikan kesinambungan hubungan dan pengalaman perjalanan yang positif untuk semua.-UTUSAN