PETALING JAYA: Kementerian Ekonomi dalam proses akhir memuktamadkan Pelan Hala Tuju Gas Negara, yang akan dilancarkan tahun ini bermatlamat untuk mengurangkan beban syarikat cari gali itu di masa depan dan bukannya bertujuan memangsakan syarikat minyak dan gas nasional itu.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pada masa kini mana-mana syarikat boleh mengimport gas asli cecair (LNG) untuk dijual ke pasaran.
Ujarnya, meskipun infrastruktur penggegasan semula dan paip gas memang dimiliki Petronas, namun memandangkan Malaysia mempunyai kerangka akses kepada pemain industri melalui akses pihak ketiga, mana-mana syarikat boleh mengimport LNG dan dijual ke pasaran.
“Bagaimanapun, masalah timbul kerana syarikat lain tidak berminat dan hampir keseluruhan pengimportan LNG ke pasaran domestik dibuat oleh Petronas.
“Perkara ini menimbulkan beban kepada Petronas kerana kebergantungan negara kepada Petronas semata-mata.
“Sekiranya harga yang diimport Petronas itu lebih tinggi daripada harga yang dijual kepada pasaran, Petronas terpaksa menanggung kerugian,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi, Facebook beliau, hari ini.
Menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa ia perancangan untuk menghapuskan monopoli Petronas dalam industri gas, Rafizi berkata, Pelan Hala Tuju Gas Negara sebenarnya bertujuan untuk merancakkan rantaian nilai gas domestik, memandangkan Malaysia terpaksa import lebih banyak LNG selepas ini kerana pengeluaran gas bagi kegunaan pasaran Semenanjung semakin berkurangan.
Menurutnya, apabila lebih banyak syarikat menceburi perdagangan gas dan mengimport LNG untuk dibekalkan, kedudukan Petronas dan negara adalah lebih baik dari beberapa sudut.
“Pertama, Petronas dapat menjana pendapatan tambahan kerana syarikat itu perlu membayar yuran akses untuk menggunakan infrastruktur gas Petronas.
“Kedua, risiko Petronas berdepan kerugian kerana memikul beban sebagai satu-satunya pengimport LNG juga berkurangan. Ketiga, bekalan gas lebih terjamin kerana industri gas yang lebih banyak pemain.
“Keempat, kita boleh menarik pelaburan baharu ke dalam industri gas hiliran,” katanya. – UTUSAN