KUALA LUMPUR: Syarikat kejuruteraan luar pesisir dari Jepun, MODEC, Inc. merancang untuk melipat gandakan tenaga kerja di Malaysia daripada hampir 200 orang kepada lebih 800 orang dalam beberapa tahun akan datang melalui pelancaran pusat pelaksanaan serantau baharunya di ibu negara.
Langkah itu merupakan pelaburan besar dalam sektor kejuruteraan dan perkhidmatan tenaga Malaysia, sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang MODEC terhadap negara ini sebagai pangkalan strategik bagi operasi globalnya.
Kemudahan baharu lima tingkat itu, yang terletak di tengah-tengah ibu kota akan berfungsi sebagai hab serantau syarikat bagi pengurusan projek Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pemasangan (EPCI).
Ketua Penyelesaian Pengeluaran Terapung bagi Kumpulan MODEC dan Pengarah MODEC di Malaysia, Soichi Ide berkata, matlamat syarikat adalah membina asas kukuh bagi pertumbuhan mampan di Malaysia dan rantau yang lebih luas.
“Dengan mewujudkan kehadiran kami di sini, kami mencipta pekerjaan bernilai tinggi, memupuk pemindahan pengetahuan dan memperkasa tenaga kerja tempatan,” katanya semasa pelancaran Pusat Pelaksanaan MODEC Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, pusat itu akan menyelia kerja-kerja kejuruteraan terperinci, pembinaan lambung kapal, pemasangan luar pesisir serta aktiviti pentauliahan.
“Ia bukan sahaja untuk operasi di Malaysia, tetapi juga untuk projek di India, China, Vietnam, Brazil, Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).
“Ia juga akan mendorong usaha MODEC dalam reka bentuk kejuruteraan peringkat awal (FEED), pembangunan dan penyelidikan (R&D), pembangunan digital dan cadangan projek global,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MODEC, Hirohiko Miyata berkata, keputusan itu mencerminkan keyakinan terhadap kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi dan perkhidmatan tenaga yang berdaya saing.
“Dengan industri FPSO dijangka berkembang dalam dekad-dekad akan datang, pusat ini akan memacu inovasi, meningkatkan keupayaan pelaksanaan kami dan mengukuhkan kehadiran serantau kami,” katanya
Perasmian pusat itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, yang menyifatkan pelaburan ini sebagai suntikan penting kepada kerangka ekonomi Madani.
“Kehadiran MODEC adalah petunjuk jelas kemajuan Malaysia ke arah menjadi peneraju ekonomi di Asia,” katanya.
Hab Kuala Lumpur akan memulakan operasinya dengan projek FPSO Gato do Mato untuk Shell Brasil Petróleo Ltda, yang merangkumi kontrak operasi dan penyelenggaraan selama 20 tahun.
Pengurus projek, Raghava Venkateshwara berkata, pelancaran di Kuala Lumpur mewakili peluang yang menarik untuk mengetuai projek utama pertama MODEC dari Malaysia.
Disenaraikan di Bursa Saham Tokyo, MODEC ialah penyedia global sistem pengeluaran terapung dan penyelesaian luar pesisir bagi industri minyak dan gas. – UTUSAN