PETALING JAYA: Waris empat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam tragedi kemalangan maut di Teluk Intan, Perak, bulan lalu, menerima hibah bagi manfaat perlindungan takaful termasuk khairat kematian dan badal haji daripada Bank Rakyat.
Bank Rakyat dalam kenyataan berkata, Allahyarham Damarrulan Abdul Latif dan Akmal Wafi Annuar merupakan pelanggan produk Bank Rakyat, termasuk Takaful Amani Plus serta Takaful Hayati yang menyediakan perlindungan dan pampasan kewangan bagi kematian atau hilang upaya semula jadi serta kerugian akibat kemalangan diri.

Selain itu, Allahyarham Pozli Jaudin dan Roslan Abd Rahim yang merupakan anggota Bank Rakyat turut menerima manfaat khairat kematian anggota berjumlah RM3,000 setiap seorang.
Penyerahan manfaat takaful tersebut disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan Deposit Runcit dan Pengurusan Kewangan Bank Rakyat, Dr. Mokhrazinim Mokhtar dan Pengarah Wilayah Utara Bank Rakyat, Syed Nasser Hussain Syed Othman Ali semasa majlis penyerahan berasingan yang diadakan bersama ahli keluarga mangsa di Ipoh, Perak dan Bertam, Pulau Pinang.
Ia sebagai tanda keprihatinan dan sokongan Bank Rakyat kepada keluarga yang terkesan.
“Kami amat bersimpati atas kehilangan yang dialami oleh keluarga mangsa dan berharap penyerahan manfaat ini dapat membantu ahli keluarga untuk meneruskan kehidupan seharian mereka dengan selesa,” katanya.
Sebagai institusi kewangan Islam yang prihatin terhadap keperluan masyarakat, Bank Rakyat menawarkan pelbagai pelan takaful mampu milik yang komprehensif dan mudah dilanggan, termasuk mereka yang berisiko tinggi seperti anggota badan beruniform.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk Takaful Amani Plus dan Takaful Hayati di cawangan Bank Rakyat berhampiran atau melalui laman sesawang rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my. – UTUSAN










