PEMBANGUNAN bakat menjadi antara ciri utama dalam kerjasama Kerajaan Malaysia bersama Arm Limited yang mahu membangunkan program latihan komprehensif untuk 10,000 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC), bagi mewujudkan saluran bakat yang kukuh untuk industri semikonduktor dalam negara.
Malaysia sememangnya mempunyai bakat yang mencukupi, namun apa yang diperlukan adalah kepakaran yang dapat memacu mereka ini ke tahap yang lebih tinggi.
Pengarah Institut Kecerdasan Buatan dan Data Raya (AIBIG), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Muhammad Akmal Remli berkata, terdapat jurang antara keperluan industri dan kemahiran graduan dan ini memerlukan lebih banyak latihan khusus.
Katanya, program kerjasama seperti ini akan membantu membina tenaga kerja yang lebih bersedia.
“Malaysia memiliki bakat berkemahiran tinggi, tetapi masih perlu ditingkatkan dalam jumlah dan kepakaran.
“Kita memerlukan lebih ramai lagi pakar berkemahiran tinggi tempatan dalam bidang ini khususnya dalam kemahiran pembangunan dan reka bentuk cip kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Muhammad Akmal berkata, bagi meningkatkan lagi pembangunan bakat di negara ini, pelaburan berterusan oleh kerajaan diperlukan, mungkin dalam bentuk, biasiswa dan insentif untuk pelajar dalam bidang AI dan semikonduktor.
Selain itu, beliau berkata, latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi tenaga kerja sedia ada juga diperlukan serta membina pusat penyelidikan dan makmal teknologi canggih.
“Peralihan sektor semikonduktor negara kepada pembangunan cip penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada cip luar negara, khususnya dalam industri strategik.
“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan daya saing Malaysia dalam sektor teknologi tinggi dan memacu inovasi dalam bidang AI, internet segala-galanya (IoT) dan automasi untuk pelbagai industri,” jelasnya.
Rentetan kerjasama dengan Arm, beliau menjangka lebih banyak pelaburan kerana Kerajaan Malaysia giat mempromosikan AI dan semikonduktor sebagai industri strategik.
“Sebelum ini pun sudah banyak kita lihat syarikat besar minat melabur di Malaysia. Pelaburan ini mungkin akan menarik syarikat global lain untuk turut serta.
“Kejayaan awal akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya. Sebab itu pentingnya ada ‘quick and long win’,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Felo Pusat Kecerdasan Buatan dan Robotik (CAIRO) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ir Ts Dr Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi berkata, Malaysia mempunyai asas bakat yang kukuh, namun jumlah bakat dalam bidang berkenaan masih perlu ditambah baik bagi menampung keperluan yang tinggi.
“Sebagai contoh, ramai graduan kami dari fakulti elektrik sama ada dari bidang kejuruteraan elektronik atau pun bidang kejuruteraan mekatronik telah berjaya bekerja dalam industri berkaitan AI dan semikonduktor.
“Namun, untuk bersaing di peringkat global, kita perlu lebih banyak pakar dalam reka bentuk cip, sistem embedded dan juga bidang yang melibatkan aplikasi cip seperti robotik.
“Program seperti latihan 10,000 jurutera IC oleh Arm Limited akan membantu menutup jurang ini,” ujarnya.
Beliau berkata, inisiatif lain seperti kerjasama UTM dan Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council (JTDC) adalah inisiatif strategik yang bertujuan untuk membangunkan bakat tenaga kerja khususnya bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Ahmad ‘Athif berkata, di UTM, beberapa fakulti seperti Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan Fakulti Komputeran (FC) telah menawarkan program ijazah sarjana muda dalam bidang AI dan teknologi-teknologi kejuruteraan.
“Secara khusus FKE menawarkan kursus kejuruteraan elektronik dan memperkenalkan kurikulum berkaitan kejuruteraan semikonduktor.
“Saya sendiri telah membuat sangkutan industri di Ericsson Malaysia dan sering berkongsi pengalaman sepanjang bersama syarikat teknologi komunikasi berkenaan kepada staf dan pelajar. Pelajar juga diberikan pendedahan melalui kursus jangka masa pendek bagi hands-on skill untuk teknologi yang berkaitan,” ujarnya.
Beliau berpendapat, pelaburan kerajaan kritikal dalam tiga aspek iaitu penyelidikan, infrastruktur dan kerjasama antara industri dan akademik.
“Dana untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam AI dan semikonduktor, seperti geran Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) dan geran khas seperti makmal cip AI amat diperlukan untuk projek berkaitan aplikasi AI, robotik dan sistem yang berkaitan.
“Dana penyelidikan di Malaysia masih lagi rendah berbanding negara maju yang lain. Pelaburan dalam fokus bidang tujahan ini sangat penting bagi membangunkan generasi yang berkemahiran,” ujarnya.
Tambahnya, selari dengan pembangunan penyelidikan, dana bagi fasiliti dan infrastruktir perlu ditambah baik bagi menempatkan peralatan dan aset yang sesuai bagi pembangunan bidang-bidang ini.-UTUSAN










