PETALING JAYA: Hibiscus Petroleum Bhd., menerusi anak syarikat milik penuhnya, Simpor Hibiscus Sdn. Bhd., memeterai perjanjian pembiayaan Islam jangka panjang bernilai AS$100 juta (RM439 juta) dengan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Baiduri Bank.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata pembiayaan berkenaan akan menyokong aspirasi pertumbuhan strategik kumpulan di Brunei serta mengukuhkan komitmennya dalam sektor tenaga negara berkenaan.
Ia juga selari dengan matlamat pembangunan jangka panjang negara itu menerusi Wawasan Brunei 2035.
Pengerusi Hibiscus Petroleum, Zainul Rahim berkata kerjasama strategik itu mencerminkan nilai dan visi bersama antara Hibiscus dan rakan strategik Brunei ke arah pembangunan mampan.
“Perjanjian ini bukan sekadar dokumen rasmi, sebaliknya menjadi manifestasi kepercayaan kami terhadap prospek jangka panjang di Brunei.
“Ia turut menandakan detik penting dalam usaha bersama kami untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan nilai tempatan serta menyumbang kepada pembangunan mampan di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi Masri, berkata pihaknya berbesar hati diberi mandat sebagai pengatur utama dan bank penstruktur bagi pembiayaan Islam berkenaan.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen BIBD untuk menyokong pembangunan ekonomi Brunei dan pelaburan strategik sejajar dengan matlamat jangka panjang negara,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Baiduri Bank, Eng Hui Ti, pula berkata perjanjian itu menekankan komitmen bersama dalam membangunkan sektor tenaga Brunei selain menyampaikan nilai jangka panjang kepada komuniti tempatan.
Majlis menandatangani perjanjian pembiayaan berkenaan berlangsung semalam di Bandar Seri Begawan, Brunei dan disaksikan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei, Datuk Seri Setia Dr. Awang Mohd Amin Liew Abdullah. – UTUSAN