PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Prof. Dr. Amir Shaharuddin dan Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman sebagai ahli baharu Majlis Penasihat Syariah (MPS) BNM.
Bank pusat dalam kenyataan berkata, pelantikan ini dibuat menurut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Katanta, Amir dan Abdul Rahim, masing-masing adalah Pengarah, Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam Universiti INCEIF dan Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dilantik dari 1 Mei 2025 hingga 30 April 2027.
“Dengan pelantikan baharu ini, MPS akan dibarisi oleh sembilan orang ahli yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang syariah, kewangan Islam perakaunan dan undang-undang,” katanya.
BNM berkata, ahli-ahli MPS adalah Pengerusinya, Datuk Prof. Dr. Ashraf Md Hashim yang merupakan Profesor Universiti INCEIF dan Timbalan Pengerusi, Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali yang merupakan Profesor Kehormat Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sementara itu, bank pusat berkata, ahli pula adalah Profesor Universiti INCEIF, Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin; Ahli Jawatankuasa Penasihat Haji Lembaga Tabung Haji, Burhanuddin Lukman; Mufti Selangor, Datuk Prof. Madya Dr. Anhar Opir; Timbalan Presiden Penyelidikan Universiti INCEIF, Dr. Marjan Muhammad dan Ketua Pengurusan Syariah Permodalan Nasional Berhad, Dr. Ahmad Basri Ibrahim.
BNM berkata, MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan, aktiviti atau transaksi secara Islam di Malaysia.
“Keputusan syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip Syariah.
“Keputusan MPS juga boleh digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara. Oleh itu, MPS memainkan peranan yang penting untuk menggalakkan kepastian amalan syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam,” jelasnya. – UTUSAN