Trafik penumpang udara Malaysia dijangka cecah 112.9 juta

Trafik penumpang udara Malaysia dijangka cecah 112.9 juta tahun ini

SARIPUDDIN KASIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan jumlah trafik penumpang udara meningkat kepada antara 105.8 juta hingga 112.9 juta pada tahun ini, berbanding anggaran 97.1 juta pada 2024.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, unjuran itu menunjukkan pertumbuhan antara 8.4 hingga 15.6 peratus tahun ke tahun, sekali gus melepasi rekod 109.3 juta yang dicatatkan pada 2019.

Menurutnya, pemulihan dan pertumbuhan sektor penerbangan pada tahun ini didorong oleh beberapa faktor utama termasuk penambahan kapasiti tempat duduk oleh syarikat penerbangan serta permintaan tinggi terhadap perjalanan antarabangsa.

“MAVCOM melihat peningkatan permintaan perjalanan udara didorong oleh pemulihan ekonomi, pembukaan sempadan antarabangsa sepenuhnya dan pertumbuhan pelancongan global.

“Syarikat penerbangan dijangka meningkatkan kapasiti sebanyak 15.8 peratus pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya, dengan lonjakan perjalanan domestik yang diunjur meningkat 21.1 peratus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Selain itu, tiga rantau utama yang dijangka mengalami pertumbuhan kapasiti tempat duduk dari Malaysia adalah Afrika, Eropah dan Asia Selatan.

Mengulas mengenai cabaran syarikat penerbangan, Saripuddin berkata, rantaian bekalan merupakan cabaran utama bagi industri yang terjejas akibat pandemik menyebabkan kelewatan dalam pembuatan pesawat, kekurangan komponen dan gangguan logistik.

“Cabaran ini bukan sahaja memberi kesan kepada industri penerbangan di Malaysia, tetapi turut dirasai di seluruh dunia namun syarikat penerbangan Malaysia bertindak proaktif menangani cabaran dengan menilai semula struktur kos, mengoptimumkan jadual penyelenggaraan, merundingkan semula kontrak pembekal dan mengurangkan perbelanjaan overhed.

“Dalam pada itu, beberapa syarikat penerbangan Malaysia turut memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitik data bagi meningkatkan kecekapan pengurusan inventori, memperkemas operasi serta membuat keputusan berasaskan data masa nyata,” katanya. 

Mengulas lanjut, MAVCOM turut menjangkakan jumlah kargo udara akan meningkat antara 4.5 hingga 8.5 peratus pada tahun ini, dipacu oleh pemulihan ekonomi serta perkembangan pesat sektor e-dagang.

“Kami yakin industri penerbangan Malaysia berada pada landasan kukuh untuk menyokong kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan strategi dan pelaksanaan yang berkesan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×