PEMBANGUNAN baharu Stellaris oleh IJM Land dan FCW Holdings Berhad mengetengahkan konsep gaya hidup moden, sekali gus menjadi pelengkap kepada Riana Dutamas, Segambut dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM821 juta.
Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, Stellaris direka sebagai simbol pembangunan unggul yang mengutamakan keseimbangan antara seni bina kontemporari dan kehidupan lestari.
“Setiap ruang direka bukan sahaja dengan estetika yang menawan, malah berfungsi sebagai pusat interaksi komuniti yang dinamik dan meriah.
“Penduduknya terdiri daripada individu serta keluarga yang bukan sahaja menilai lokasi strategik, malah yakin terhadap reputasi kukuh Stellaris dalam merancang dan merealisasikan ruang kediaman berkualiti tepat pada masanya.
“Mengangkat visi kehidupan harmoni, pembangunan ini menggabungkan seni bina moden dengan keindahan landskap semula jadi serta ruang komuniti yang dirancang dengan teliti,” katanya dalam satu kenyataan.
Stellaris @ Riana Dutamas direka dengan elemen lestari, termasuk pensijilan GreenRE, sistem penuaian air hujan dan panel solar bagi mengurangkan penggunaan tenaga.
Setiap blok kediaman diorientasikan ke arah utara-selatan untuk meminimumkan penyerapan haba, memastikan ruang yang lebih sejuk dan cekap tenaga.
Menurutnya, Stellaris yang dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 2.34 hektar menjadi simbol kehidupan bandar moden dengan menawarkan saiz kediaman fleksibel, bermula daripada 766 hingga 1,206 lebih kaki persegi.
“Kedudukannya dalam pembangunan Riana Dutamas mengukuhkan reputasinya sebagai mercu tanda kehidupan mewah yang tiada tandingan.
“Bagi profesional muda, susun atur modular memberi kebebasan untuk mengatur ruang mengikut keperluan semasa, manakala keluarga pelbagai generasi pula dapat menikmati keselesaan dengan susun atur tetap yang memudahkan pergerakan harian.
“Dengan harga bermula daripada RM519,000, Stellaris memenuhi keperluan pembeli bijak yang mencari kediaman moden dengan akses mudah dan lokasi strategik yang dikelilingi pelbagai kemudahan,” ujarnya.
Kian Soon berkata, pembangunan itu turut menampilkan empat unit kedai strata yang disepadukan secara harmoni, menawarkan kemudahan gaya hidup yang lebih praktikal.
“Pelbagai pilihan tempat makan, keperluan harian dan perkhidmatan gaya hidup tersedia hanya beberapa langkah dari kediaman, menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang mengutamakan keselesaan.
“Selain lokasi strategik di tengah-tengah Segambut, kediaman ini menawarkan akses mudah ke destinasi utama ibu kota, berdekatan dengan kawasan eksklusif seperti Solaris Dutamas, Mont Kiara dan Pusat Bandar Kuala Lumpur.
“Jaringan lebuh raya utama seperti Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) turut menjadikan perjalanan lebih mudah dan efisien, menghubungkan penduduk ke pelbagai lokasi penting di Lembah Klang.
“Bagi yang mengutamakan pengangkutan awam, Stellaris @ Riana Dutamas menawarkan laluan berbumbung terus ke Stesen KTM Segambut serta akses kepada perkhidmatan Bas GoKL dan Transit Aliran Massa (MRT) berdekatan, memberikan lebih banyak pilihan perjalanan,” katanya.-UTUSAN










