PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) menawarkan ganjaran ‘duit raya’ sehingga RM10,000 bulan ini menerusi promosi Buka Lembaran Baharu sempena bulan Ramadan.
Pembuat kereta nasional berkata, pihaknya menjemput semua orang untuk menandakan permulaan baharu dengan kenderaan yang baharu semasa promosi tersebut.
“Merangkumi semua model Proton, promosi itu memberi ganjaran kepada pembeli kereta baharu dengan rebat tunai ‘duit raya’ bernilai sehingga RM10,000 serta menambahnya lagi dengan pakej sokongan overtrade daripada bahagian pengurusan kereta terpakai Proton di cawangan yang tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah berkata, promosi Buka Lembaran Baharu Proton adalah usaha syarikat untuk menambah baik pengalaman jenama untuk pelanggan dengan membuatkan lebih mudah untuk memiliki kenderaan Proton baharu.
“Ia juga memberi pembeli peluang untuk memandu Proton baharu apabila pulang ke kampung dan melawat rakan serta keluarga semasa cuti perayaan, memberikan gambaran yang hanya mampu didapati dengan memandu kereta serba baharu,” katanya.
Proton mempunyai tiga model kenderaan utiliti suka (SUV) yang menawarkan prestasi, ketersambungan, keselamatan dan nilai, terbukti menjadi gabungan yang memenangi hati ramai pembeli kereta baharu.
Katanya, dengan pakej lumayan yang tersedia sepanjang tempoh promosi, kini adalah masa paling sesuai untuk memiliki Proton siri X.
“Model popular, X50 telah dikemas kini pada Jun tahun lalu dan terus menerajui jualan dan mengatasi semua pesaing dalam segmennya.
“Pelancaran X50 SE pula mendapat sambutan memberangsangkan dengan 531 unit telah didaftarkan sejak dilancarkan pada pertengahan Januari ini.
“Untuk kempen promosi Buka Lembaran Baharu, pembeli akan menerima rebat sehingga RM9,000 dan sokongan tukar beli sehingga RM2,000 daripada cawangan yang tertentu untuk jumlah nilai pakej yang bakal bernilai sehingga RM11,000,” ujarnya.
Sementara itu, Proton memberitahu, model enjin pembakaran dalaman (ICE) Proton yang terbaharu adalah X70 2025 yang dilancarkan pada 15 Ogos tahun lalu.
“Menampilkan bahagian luar dan dalam yang dikemas kini serta penjimatan penggunaan bahan api, mereka yang ingin memiliki model ‘Intelligence That Inspires’ boleh membeli kenderaan dengan rebat sehingga RM9,000 manakala sokongan tukar beli yang ada bernilai RM2,000.-UTUSAN










