Proses pengambilan pekerja guna AI elak berat sebelah

Proses pengambilan pekerja guna AI elak berat sebelah

AI dilihat boleh membantu dalam proses pengambilan kerja yang lebih cekap.-UTUSAN/SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECERDASAN buatan (AI) dilihat telah mengubah landskap pengambilan pekerja di Malaysia dan dijangka memberi impak positif kepada manusia. 

Peralihan teknologi ini menyelesaikan cabaran biasa yang dihadapi dalam proses pengambilan tradisional, seperti berat sebelah dan ketidakcekapan serta membuka jalan bagi persekitaran pengambilan yang lebih inklusif. 

Antara sektor yang dijangka terkesan ialah teknologi maklumat dan komunikasi, pembuatan farmaseutikal, pembuatan dan perkhidmatan makanan, perniagaan borong dan runcit, perkhidmatan perniagaan global, perkilangan, kewangan, perkhidmatan pelanggan dan logistik.

Namun, sejauh manakah AI akan menjadikan proses pengambilan pekerja lebih inklusif de­ngan mengurangkan berat se­belah atau apakah cabaran yang perlu ditangani?

Di Jobstreet by SEEK, cadangan pekerjaan yang digerakkan oleh AI menganalisis kemahiran dan keutamaan calon, manakala algoritma carian lanjutan yang menggunakan Model Bahasa Besar (LLM) meningkatkan ketepatan carian, membantu pencari kerja menemui peluang yang sesuai dengan lebih cepat.

Pengarah Urusan, Jobstreet by SEEK Malaysia, Jobstreet by SEEK, Nicholas Lam mengulas, AI berpotensi untuk mengurangkan berat sebelah manusia, tetapi terdapat juga cabaran yang masih kekal. 

Jelas beliau, dengan meng­automasikan proses saringan awal dan memberi tumpuan kepada kelayakan objektif, AI dapat membantu majikan menilai calon berdasarkan kemahiran dan pengalaman bukannya faktor subjektif. 

“Walau bagaimanapun, mo­del AI boleh secara tidak sengaja mewarisi berat sebelah yang terdapat dalam data latihan, yang boleh menyebabkan diskriminasi yang tidak diingini.

“Menyedari perkara ini, kami komited untuk mengurangkan bias dalam pengambilan pekerja dengan membangunkan AI yang tidak mempelajari atau mempamerkan bias terhadap atribut yang dilindungi seperti jantina, umur, etnik atau kecacatan. 

“Dengan mengutamakan keadilan dan prinsip AI yang beretika, Jobstreet by SEEK memastikan bahawa proses pengambilan kekal adil untuk semua calon,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas Nicholas, seiring de­ngan perkembangan berterusan, pemantauan dan penambahbaikan yang berterusan adalah penting untuk memastikan proses pengambilan pekerja yang inklusif dan saksama.

Beliau berkata, organisasi sentiasa perlu berkembang untuk menarik bakat terbaik dalam pasaran kerja yang kompetitif dan seperti banyak industri lain, sektor pengambilan pekerja boleh mendapat manfaat daripada penggunaan penyelesaian AI untuk memperkemas proses. 

“Alat berkuasa AI seperti penapisan resume dan analitik ramalan dapat menganalisis sejumlah besar permohonan dengan pantas, membolehkan perekrut mengenal pasti calon terbaik berdasarkan kriteria objektif, bukannya ber­gantung sepenuhnya pada pertimbangan subjektif.

“Peralihan tek­nologi ini menyelesaikan cabaran biasa yang dihadapi dalam proses pengambilan tradisional, seperti berat sebelah dan ketidakcekapan, membuka jalan bagi persekitaran pengambilan yang lebih inklusif,” katanya.

Menurutnya, di Jobstreet by SEEK, cadangan pekerjaan yang digerakkan oleh AI menganalisis kemahiran dan keutamaan calon, manakala algoritma carian lanjutan yang menggunakan LLM meningkatkan ketepatan carian, membantu pencari kerja menemui peluang yang sesuai dengan lebih cepat. 

“Satu daripada contohnya adalah penciptaan iklan pekerjaan yang dibantu oleh AI dan pemilihan calon di Jobstreet by SEEK. Alat berkuasa AI membantu menyusun iklan pekerjaan yang lebih baik, manakala algoritma kesesuaian calon dengan pantas mengenal pasti calon yang sesuai, mengurangkan masa pengambilan dan meningkatkan kualiti pengambilan. 

“Automasi AI juga memperkemas tugas pentadbiran, membolehkan perekrut memberi tumpuan kepada keputusan strategik,” katanya. 

Selain daripada kecekapan, Nicholas berkata, dengan menggunakan alat AI pihaknya juga memastikan kepercayaan dan ketelusan dalam pengambilan pekerja. 

“Dengan menyediakan wawasan berasaskan data, seperti penanda aras gaji dan jangkaan prestasi, ia membantu majikan kekal berdaya saing. 

“Pengesahan kelayakan dan pengurangan bias juga membantu mewujudkan proses pengambilan yang lebih adil, mencipta pasaran pekerjaan yang lebih boleh dipercayai dan inklusif untuk kedua-dua pencari kerja dan majikan.

“Inovasi-inovasi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan proses pengambilan, tetapi juga meletakkan syarikat-syarikat Malaysia dalam kedudukan untuk mengekalkan kelebihan daya saing apabila kepentingan pengambilan terus berkembang,” katanya. 

Beliau mendedahkan, AI dapat memadankan calon dengan peranan berdasarkan kemahiran mereka, serta potensi mereka untuk memasuki bidang yang sedang berkembang. 

“Alat AI mampu mengenal pasti apabila calon sangat sesuai untuk sesuatu peranan berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang boleh dipindahkan, menggalakkan mereka untuk memohon peluang kerjaya baru yang mungkin tidak pernah mereka pertimbangkan. 

“Ini juga memperbaiki pengalaman pengambilan pekerja untuk majikan, yang dapat mengurangkan masa pengambilan dengan berhubung dengan calon yang paling sesuai untuk peranan tertentu,” katanya.

Katanya, pencari kerja boleh meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan ideal mereka melalui Jobstreet by SEEK dengan mengamalkan beberapa pendekatan strategik.

“Calon boleh menggunakan ciri ini di platform untuk menyatakan pilihan pekerjaan mereka dengan kata-kata mereka sendiri, yang dapat memudahkan mereka mencari peranan yang sesuai dengan kepakaran dan aspirasi mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×