SEKTOR pembuatan semikonduktor, elektronik dan tenaga boleh diperbaharui (RE) antara beberapa sektor yang dijangka mengalami pertumbuhan yang signifikan dalam pasaran pekerjaan Malaysia pada 2025.
Pengarah Urusan, Jobstreet by SEEK Malaysia, Jobstreet by SEEK, Nicholas Lam berkata, kerajaan Malaysia memberi keutamaan kepada pelaburan dalam sektor bernilai tinggi, termasuk elektronik dan elektrik (E&E) serta semikonduktor.
“Fokus strategik ini bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab global bagi pengeluaran semikonduktor, meningkatkan peranannya dalam rantaian bekalan global.
“Selain itu, sektor RE pula melihat komitmen kerajaan terhadap industri hijau jelas dapat dilihat dalam rancangan untuk mempertingkatkan pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Inisiatif ini dijangka meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui kepada grid nasional, mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor ini,” katanya.
Selain itu, ujarnya, beberapa sektor yang dijangka alami pertumbuhan pada tahun ini termasuk sektor kewangan dijangka berkembang pesat, dengan permintaan yang ketara untuk profesional dalam bidang seperti teknologi kewangan (fintech), perbankan digital dan keselamatan siber.
“Fokus kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan kewangan dijangka menghasilkan banyak peluang pekerjaan dalam sektor ini.
“Sektor industri penjagaan kesihatan sedang berkembang, didorong oleh inisiatif kerajaan untuk memperbaiki perkhidmatan perubatan. Pembangunan ini menyumbang kepada peningkatan permintaan untuk profesional penjagaan kesihatan di pelbagai bidang,” katanya.
Tambah Nicholas, dengan fokus kepada kelestarian dan inisiatif ekonomi hijau, terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk profesional dalam sektor teknologi hijau dan kelestarian.
“Ini termasuk peranan dalam pengurusan alam sekitar, pengurusan sumber yang lestari dan bidang berkaitan.
“Sektor-sektor ini dijangka menawarkan peluang pekerjaan yang besar seiring dengan perkembangan ekonomi dan infrastruktur Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, AI adalah pemacu kepada transformasi tenaga kerja di bukan hanya tempatan tetapi peringkat global dan antara signifikansi dalam pasaran kerja.
Katanya, keupayaan AI ini untuk tingkatkan kecekapan, mengurangkan kebergantungn kepada modal insan, proses pengurusan sumber yg lebih efektif dan peluang pekerjaan yang lebih luas.
“Dalam proses pengambilan pekerja saya melihat ia dapat mengurangkan bias disebabkan kaedah konvensional ini banyak dipengaruhi faktor subjektif manusia. Sebagai contoh kita akan ada preference kepada gender tertentu, latar belakang dan status sosial seseorang dan AI adalah penilaian calon pekerja melalui merit.
“Pengambilan lebih bersifat holistik dan ada elemen meterangkuman dalam memenuhi pasaran kerja sedia ada
“Oleh itu, gabungan AI dengan penilaian manusia lebih baik sebab teknologi ini masih memerlukan pemantauan namun, teknologi boleh menjadi alat untuk mewujudkan inklusiviti dalam pasaran kerja negara kita,” katanya.-UTUSAN










