KIRA-KIRA tiga minggu lagi, kita akan menyambut bulan Syawal dan seterusnya meraikan Hari Raya Aidilfitri bagi semua umat Islam.
Tatkala sibuk membuat persediaan untuk diri dan keluarga, jangan pula lupa untuk membuat persediaan bagi rumah anda sebelum pulang ke kampung.
Pada minggu ini, Ringgit berkongsi panduan keselamatan untuk rumah ada dan checklist yang perlu dibuat bagi memastikan rumah berada dalam keadaan selamat apabila ditinggalkan ketika musim perayaan ini.
Tutup suis Lampu dan barangan elektrik
Sebelum memulakan perjalanan, pastikan semua suis di setiap sudut rumah anda dimatikan dan ditanggalkan daripada soket.
Perkata ini penting bagi mengelakkan berlaku insiden litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran ketika anda tiada di rumah.
Dalam pada itu, ia juga membantu menjimatkan kadar penggunaan elektrik kerana soket peralatan telah dicabut.
Cabut kepala tong gas memasak, tutup paip air
Adalah lebih baik untuk anda mencabut kepala tong gas memasak apabila anda tidak berada di rumah dalam tempoh yang lama.
Langkah ini dapat mengelakkan risiko kebakaran rumah sekiranya berlaku kebocoran pada hos atau dapur gas semasa ketiadaan anda.
Selain itu, pastikan semua paip air di rumah anda telah ditutup sebelum anda keluar rumah bagi mengelakkan pembazir atau air melimpah dalam rumah.
Kunci pintu, tingkap dan pagar rumah
Perkara paling penting mestilah untuk memastikan semua pintu, tingkap dan pagar rumah anda ditutup dan dikunci dengan baik.
Anda boleh menggunakan ibu kunci atau padlock yang tidak mudah dipecah atau diumpil oleh pihak yang cuba menceroboh.
Elakkan juga daripada menyembunyikan atau menyimpan kunci rumah anda di lokasi-lokasi yang mudah dibaca seperti di bawah pasu, di bawah alas kaki atau di dalam rak kasut di luar rumah.
Maklumkan ketiadaan kepada jiran dan polis
Bagi memastikan keselamatan kediaman lebih terjamin, pemilik dinasihatkan untuk memaklumkan ketiadaan anda kepada jiran atau pihak polis.
Ia bagi membolehkan mereka membantu mengawasi keselamatan kediaman sepanjang ketiadaan pemilik dan polis biasanya akan melakukan rondaan secara berkala sepanjang ketiadaan anda.
Jangan kongsi ketiadaan anda di media sosial
Bagi memastikan keselamatan rumah dan mengelakkan perkara yang tidak diingini, anda dinasihatkan untuk elak atau jangan sekali-kali memuat naik status di media sosial berkongsi ketiadaan anda atau mana-mana ahli keluarga di rumah.
Perkara tersebut boleh membuka ruang kepada orang luar untuk memantau pergerakan anda.
Pihak yang sudah memantau mungkin akan mengambil kesempatan ketiadaan anda untuk melakukan jenayah seperti mencuri dan sebagainya.-UTUSAN










