PEMAJU hartanah, Matrix Concepts menawarkan projek kediaman rumah teres, rumah kluster dan rumah berkembar untuk memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup setiap individu dan keluarga.
Suria Heights yang terletak di jalan utama Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan menawarkan pengalaman kediaman yang mementingkan ketenangan dan keanggunan moden.
Matrix Concepts ketika dihubungi berkata, projek sebanyak 582 unit itu melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM547 juta.
“Suria Heights menawarkan rumah jenis teres (empat fasa), rumah kluster (tiga fasa) serta rumah berkembar (empat fasa) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2028,” katanya dalam kenyataan.
Suria Heights menawarkan segmen pasaran utama iaitu pemilik rumah dan individu atau keluarga yang mencari hartanah bertanah, terutamanya rumah teres dan rumah kluster, sama ada untuk berpindah ke ruang yang lebih besar atau memiliki hartanah bertanah.
“Selain itu, pihak kami menyasarkan isi rumah M40 yang mampu membeli rumah di Suria Heights.
“Rumah yang disediakan untuk pembeli yang mencari persekitaran kediaman yang selesa dan sesuai untuk kehidupan keluarga,” katanya.
Jelas pemaju hartanah itu, majoriti pembeli berkemungkinan berada dalam lingkungan umur 30 hingga 50 tahun, terdiri daripada golongan profesional yang bekerja dan keluarga muda.
“Data menunjukkan campuran kumpulan etnik yang berbeza, mencerminkan demografi pembeli dari pelbagai kawasan.
“Pembeli terutamanya datang dari Negeri Sembilan dan kawasan sekitar seperti Lembah Klang dan Selangor, menunjukkan minat daripada pembeli tempatan dan luar negeri,” katanya.
Matrix Concepts juga menawarkan kediaman ini bagi keluarga muda yang mencari bandar yang selamat dan terancang untuk keluarga mereka yang sedang membesar.
“Dalam pada itu, pembeli yang mencari rumah yang lebih besar dengan kemudahan yang lebih baik.
“Pembeli juga adalah mereka yang bekerja di pusat bandar berhampiran seperti Kuala Lumpur dan Seremban tetapi lebih suka tinggal di persekitaran yang lebih tenang,” katanya.
Suria Heights, projek kediaman terkini oleh Matrix Concepts, mencerminkan keseimbangan yang sempurna dengan menawarkan ciri-ciri ketenangan dan kesalinghubungan yang ideal.
Antara kemudahan yang disediakan adalah tasik, Treehouse, pentas yoga, taman permainan kanak-kanak, gelanggang badminton, ‘hammock swing’ dan pusat gim.
Perbandaran ini terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari tol Seremban dan kira-kira 60 km dari Kuala Lumpur, serta dilengkapi akses yang baik melalui Lebuhraya Seremban – Port Dickson, Lebuhraya Seremban – Bandar Baru Enstek dan Lebuhraya Utara-Selatan.
Ketersambungan utama ini memastikan penduduk dapat menikmati akses mudah ke Seremban dan ke bandar-bandar utama.
Malah, ia turut menjadikan akses lebih mudah ke beberapa pusat beli-belah seperti Aeon Mall, Pasaraya Lotus’s dan Palm Mall, pusat kesihatan seperti Hospital Pakar KPJ Seremban dan Hospital Columbia Asia.
Ini termasuk kemudahan rekreasi di Sendayan Green Park dan Sendayan Carnelian Park.
Kawasan kediaman berprestij ini turut terletak berhampiran hab pendidikan iaitu Matrix Global Schools yang menyediakan pendidikan bertaraf dunia dengan kurikulum tempatan dan antarabangsa.-UTUSAN










