PETALING JAYA: Bersempena bulan Ramadan, Marrybrown mengagihkan lebih 25,000 pek bubur lambuk menerusi inisiatif Kasih Ramadan 2025 sehingga akhir Mac ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown, Daniel Chan, bubur lambuk itu diagihkan oleh pekerjanya kepada masyarakat setempat bermula di Masjid Puncak Alam.
Beliau berkata, hidangan tersebut bukan hanya sekadar makanan klasik, malah ia adalah simbol tradisi bagi Ramadan dan akan memupuk semangat perpaduan antara masyarakat.
“Sebagai jenama yang telah menjadi sebahagian daripada komuniti Malaysia selama beberapa dekad, kami memahami bagaimana bubur lambuk menyatukan orang ramai sepanjang Ramadan.
“Ia merupakan satu penghormatan bagi kami untuk meneruskan tradisi ini sambil berkongsi pengalaman yang sangat bermakna kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Daniel berkata, pihaknya bekerjasama dengan masjid-masjid seluruh negara melanjutkan inisiatif itu ke kawasan rehat dan rawat (R&R), bagi memastikan mereka yang dalam perjalanan pulang ke kampung dapat menikmati hidangan berbuka yang lazat.
Tambahnya, bagi menjaga hubungan baik bersama masyarakat dan meraikan Ramadan, cawangan Marrybrown terlibat akan mengedarkan Bubur Ayam MB kepada masjid dalam komuniti setempat.
“Ramadan adalah bulan untuk muhasabah diri, mengeratkan lagi perpaduan, dan mengamalkan sifat murah hati.
“Kami berharap dengan berkongsi hidangan yang ringkas lagi menyelerakan ini, kami dapat membawa kebahagiaan kepada mereka yang menyambut bulan suci ini, tidak kira di mana mereka berada,” katanya. – UTUSAN










