Isu parkir terus membelenggu kawasan perumahan bertingkat

Isu parkir terus membelenggu kawasan perumahan bertingkat

TEMPAT letak kereta terhad sehingga ada kenderaan yang terpaksa parkir di depan kereta lain.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASALAH kekurangan tempat meletak kereta di kawasan perumahan bertingkat terutamanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), strata kos rendah dan sederhana bukanlah satu isu yang baharu.

Pertumbuhan penduduk dan lambakan kenderaan persendirian saban tahun terus membe­lenggu penduduk, di samping memberi kesan kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan perumahan tersebut.

Penduduk yang gagal mendapatkan tempat meletak kereta dalam kawasan perumahan mereka akan meletak kereta di bahu jalan, sekali gus mengganggu lalu lintas.

Bukan itu sahaja, penduduk juga akan berdepan risiko termasuk kenderaan mereka disaman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis serta risiko lain apabila kenderaan mereka lebih terdedah dengan bahaya atau dilanggar kenderaan lain.

Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM), PMgr Sr Ishak Ismail berkata, kekurangan tempat meletak kereta adalah sesuatu yang biasa di mana-mana PPR.

Katanya, lambakan kendera­an persendirian sememangnya akan membawa kepada masalah kekurangan tempat meletak kereta dan perkara itu boleh diatasi dengan meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan pengangkutan awam berbanding membeli kereta dan menambah lagi kepada masalah ini.

Beliau mengakui masalah ini berlaku bukan sahaja di PPR, tapi kawasan perumahan ber­tingkat lain apabila jumlah kenderaan dalam satu isi rumah lebih banyak berbanding jumlah tempat letak kereta yang disediakan bagi setiap unit.

“Perkara ini mungkin berlaku apabila isi rumah terdiri daripada berbilang generasi iaitu ibu bapa dan anak juga mempunyai kereta sendiri.

“Kesedaran untuk meng­gu­na­­kan kenderaan awam perlu. Ak­­ses yang baik bagi infrastuktur ini boleh menjadi pen­do­­rong kepada orang awam untuk beralih dan menggunakan pe­ngang­kutan awam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, ada beberapa perkara yang menyebabkan ramai yang memilih untuk menggunakan kenderaan persendirian iaitu iklim Malaysia yang panas, harga minyak yang murah serta tiada had lupus untuk kenderaan berbanding negara lain seperti Singapura dan Jepun.

“Jika dibandingkan dengan negara lain, petrol di Malaysia adalah antara yang rendah. Selain itu, kereta di Malaysia tiada had umur untuk dilupuskan yang seterusnya akan berlaku lambakan. 

“Masalah utama juga adalah mentaliti rakyat negara ini yang bergantung kepada kenderaan persendirian,’ ujarnya.

Beliau berkata, beberapa langkah boleh diambil bagi mengatasi masalah tersebut seperti menyediakan tempat letak kereta bertingkat yang boleh menambah kapasiti tanpa perlu menambah atau mengambil ruang yang banyak.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh mengambil inisiatif untuk menyediakan tempat letak kereta bertingkat di kawasan PPR. 

“Kawasan ini perlu beralih kepada tempat letak kereta secara vertical (menegak) daripada horizontal (mendatar). 

“Saya lihat sudah ada langkah menyediakan tempat letak kereta bertingkat ini seperti di Jalan Tun Razak dan mungkin ia boleh dilaksanakan di kawasan perumahan ini,” katanya.

Sementara itu, Ishak berkata, pihak pengurusan atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) sesebuah kawasan juga boleh menyediakan jadual meletak kereta mengikut giliran dan ini memerlukan kerjasama daripada penduduk.

“Kita dapat lihat ada sesetangah penduduk yang ‘cop’ tempat letak kereta di kawasan PPR dan perkara tersebut adalah salah kerana ia adalah untuk kegunaan bersama.

“Selain itu, kawalan ketat juga perlu supaya kenderaan luar tidak masuk dan meletak kereta di kawasan PPR. Mereka mungkin dapat membuat pelekat khas bagi memastikan hanya penduduk sahaja dapat meletak kereta di situ,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak pengurusan atau pbt juga mungkin dapat mencari kawasan lapang berhampiran milik pbt untuk membuat ruang tempat letak kereta tambahan dan disewakan pada harga yang berpatutan. 

“Sebagai contoh, pihak kami menjaga Residensi Sungai Udang, Segambut yang juga berdepan dengan masalah kekurangan tempat meletak kereta.

“Kami telah mengambil inisiatif dengan memohon kepada DBKL untuk tanah Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bagi menjadikan kawasan tempat meletak kereta tambahan. Kami sudah terima surat daripada DBKL untuk jadikan kawasan itu tempat letak kereta tambahan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN