PETALING JAYA: Eco World Development Group (Eco World) dijangka mencapai pendapatan lebih baik pada tahun kewangan 2025 didorong keuntungan jualan tanah kepada Microsoft, MIDF Amanah Investment Bank Berhad.
Bank pelaburan berkata, tinjauan pendapatan jangka panjang juga disokong oleh pertumbuhan dalam pendapatan berulang berikutan perjanjian bina dan pajakan pusat data dengan Pearl Computing.
“Pendapatan teras bersih suku pertama tahun kewangan 2025 Eco World adalah dalam jangkaan. Eco World mengumumkan dividen interim pertama sebanyak satu sen sesaham.
“Pertumbuhan pendapatan pada suku pertama berada pada 11.9 peratus tahun ke tahun terutamanya disebabkan oleh realisasi penjimatan kos fasa siap yang meningkatkan margin keuntungan kasar,” katanya dalam nota penyelidikan.
MIDF berkata, Eco World merekodkan jualan kukuh sebanyak RM1.93 bilion dalam empat bulan pertama tahun kewangan 2025, membentuk 55 peratus daripada sasaran jualan baharu sebanyak RM3.5 bilion untuk 2025.
Katanya, jualan kukuh itu disumbangkan oleh jualan tanah sebanyak RM960 juta yang merangkumi 49 peratus kepada jumlah jualan, diikuti oleh Eco Townships (22 peratus), Eco Hubs (14 peratus) dan Eco Rise (13 peratus).
“Sementara itu, penggearan bersih meningkat kepada 0.38 kali pada suku pertama 2025 daripada 0.19 kali pada suku keempat 2024 apabila Eco World meningkatkan pinjaman untuk membiayai perolehan 342.87 hektar tanah di Semenyih untuk perbandaran Eco Radiance.
“Namun begitu, hasil masa hadapan berjumlah RM5 bilion pada suku pertama sepatutnya menambah baik aliran tunai masa hadapan.
“Kami kekal saranan ‘beli’ untuk Eco World dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM2.11 sesaham,” ujarnya.
Sementara itu, Public Investment Bank berkata, Eco World memulakan tahun kewangan 2025 dengan keuntungan bersih yang membanggakan sebanyak RM80.3 juta (+15.4 peratus tahun ke tahun) pada suku pertama, sejajar dengan anggaran dan konsensusnya.
Katanya, keuntungan bersih suku pertama membentuk kira-kira 24 peratus dan 22 peratus daripada anggaran tahun penuh dan konsensus bank pelaburan itu.
“Momentum jualan masih menggalakkan dengan kumpulan telah memperoleh RM1.93 bilion pra jualan dalam empat bulan pertama 2025, mewakili 55 peratus daripada sasaran jualan tahun penuh 2025 kumpulan sebanyak RM3.6 bilion.
“Sejajar dengan itu, jualan tidak dibil juga pada rekod tertinggi RM5 bilion pada 28 Februari 2025, memberikan kedua-dua keterlihatan pendapatan jangka terdekat untuk tiga hingga empat tahun akan datang,” jelasnya.
Secara berasingan, Public Investment berkata, Eco Workd turut memeterai perjanjian pembelian dan penyempurnaan perolehan tanah di koridor Semenyih, yang akan dikenali sebagai Eco Radianc yang dirancang untuk dilancarkan pada penghujung 2025 atau awal 2026.
“Bagi aset pendapatan berulangnya, ia menandatangani perjanjian dengan Pearl Computing pada 25 Februari 2025 untuk membina dan memajak cangkang dan teras pusat data serta struktur yang berkaitan di atas tanah seluas 37.4 hektar di Eco Business Park V untuk tempoh permulaan 20 tahun dengan pilihan pembaharuan sehingga 10 tahun tambahan.
“Jumlah nilai sewa sepanjang tempoh pajakan awal 20 tahun dianggarkan sehingga RM4.8 bilion,” katanya.
Public Investment berkata, tiada perubahan pada anggaran pendapatannya terhadap Eco World, setelah mengambil kira perkara tersebut.
“Kami kekal ‘neutral’ dengan TP tidak berubah pada RM1.90 sesaham atau kira-kira 10 peratus premium kepada nilai buku, memandangkan konsistensinya dalam menyampaikan keuntungan dan hasil dividen yang lumayan,” ujarnya.-UTUSAN










