PETALING JAYA: Glomac Berhad (Glomac) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM3.3 juta dan pendapatan tidak diaudit sebanyak RM33.7 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2025.
Menurut kenyataan, pada sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 April 2025, Glomac melaporkan hasil sebanyak RM163.4 juta, didorong oleh aktiviti pembinaan yang berterusan.
“Ini termasuk Saujana Perdana dan hasil daripada dua pembangunan kediaman bertingkat tinggi, iaitu 121 Residences serta Plaza@Kelana Jaya.
“Keuntungan sebelum cukai juga telah meningkat sebanyak 65 peratus kepada RM21.4 juta daripada RM13.0 juta pada sembilan bulan tahun kewangan 2024.
“Peningkatan ini didorong oleh margin keuntungan yang lebih kukuh, hasil daripada campuran produk yang tepat dengan pembangunan margin yang lebih tinggi, serta keuntungan yang didapati daripada pelupusan hartanah pelaburan dan pengurangan kos kewangan,” katanya.
Katanya, Glomac terus mengekalkan kedudukan kewangannya yang kukuh, dengan nisbah hutang bersih tidak ketara sebanyak 0.03 serta turut disokong oleh ekuiti pemegang saham sebanyak RM1,198.5 juta.
“Setakat Januari 2025, wang tunai dan deposit kekal kukuh pada RM248.0 juta, memastikan terdapat kecairan yang mencukupi untuk menyokong inisiatif pembangunan yang berterusan.
“Selain itu, nilai aset bersih sesaham Glomac berada pada RM1.56, menggambarkan kadar nisbah harga kepada buku dalam anggaran 0.23 kali.
“Semasa tempoh semakan penggal, Glomac telah berjaya melancarkan fasa baharu pejabat kedai di Saujana Perdana, dengan jumlah anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM125 juta dengan sambutan memberangsangkan dengan hampir 60 peratus unit terjual setakat akhir Januari 2025.
“Fasa komersil terbaharu ini dibina berdasarkan kejayaan fasa awalnya yang terdiri daripada 81 pejabat kedai yang mempunyai GDV gabungan sebanyak RM71 juta dan ia telah dijual sepenuhnya pada awal 2024,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, Glomac turut memperkenalkan fasa pertama rumah teres dua tingkat di Serai@SBCR pada Ogos 2024.
“Projek ini meraih sambutan menggalakkan dengan pencapaian jualan hampir penuh dalam jangka masa tiga bulan.
“Pencapaian seperti ini memperlihatkan keteguhan reputasi Glomac dan kepakarannya dalam menawarkan pembangunan hartanah berkualiti tinggi di pasaran, adalah diakui sejajar dengan kehendak pembeli,” katanya.
Mengulas mengenai projek-projek yang akan datang, Glomac menyasarkan pembangunan fasa kediaman baharu di dalam perbandaran yang telah sedia ditubuhkan, termasuk Lakeside Residences, Saujana KLIA, dan Saujana Jaya di Kulai, Johor dengan anggaran GDV secara kolektifnya sebanyak RM298 juta.
“Kedudukan kewangan Glomac kekal kukuh untuk memacu aktiviti pembangunan masa depan, disokong oleh kedudukan wang tunai dan nisbah hutang bersih tidak ketara yang stabil.
“Selain itu, Glomac telah mengukuhkan struktur modalnya melalui program sukuk wakalah, yang menyediakan kapasiti pembiayaan sehingga RM3.0 bilion.
“Dengan simpanan tanah (landbank) yang terletak di kawasan strategik bagi pembangunan masa hadapan dengan anggaran GDV melebihi RM7 bilion, Glomac terus bersedia untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan sedia ada dalam mengembangkan lagi pembangunan projek-projek hartanahnya,” katanya.-UTUSAN










