Buttonscarves rancang tembusi pasaran Turkiye

Buttonscarves rancang tembusi pasaran Turkiye

LINDA ANGGREA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jenama fesyen tudung terkenal, Buttonscarves, menetapkan strategi baharu tahun ini dengan memberi tumpuan kepada mengukuhkan pasaran sedia ada, khususnya di Malaysia dan Indonesia.

Pengasas dan Pengarah Kreatif Buttonscarves, Linda Anggrea berkata, sebelum ini syarikat lebih menekankan pengembangan melalui pembukaan cawangan baharu, namun tahun ini pihaknya akan fokus kepada pengekalan pelanggan dan peningkatan produktiviti setiap cawangan kedai. 

Beliau berkata, Buttonscarves sedang merancang pengembangan baharu ke pasaran Singapura serta Turki dalam masa terdekat. 

“Buttonscarves kini mempunyai 60 cawangan di seluruh Indonesia dan enam cawangan di Kuala Lumpur. Tahun ini, kami akan memberi tumpuan kepada pelbagai aktiviti pemasaran bagi memastikan pelanggan setia terus bersama kami. 

“Kami melihat potensi besar di Istanbul kerana permintaan tinggi terhadap tudung di sana. Tahun ini, kami akan menjalankan kajian pasaran, dan sekiranya semuanya berjalan lancar, pembukaan stor di Turki dijangka pada tahun depan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Berbuka Buttonscarves 2025. 

Buttonscarves yang telah berkembang ke dalam kategori produk seperti kosmetik, beg tangan, kasut dan aksesori, tidak bercadang untuk menambah kategori baharu tahun ini, sebaliknya akan menumpukan usaha untuk meningkatkan kualiti produk sedia ada.

“Kategori beg tangan kami semakin berkembang. Ia diperbuat daripada kulit asli dan kami yakin mampu bersaing di pasaran antarabangsa,” katanya.

Mengenai cabaran dalam industri, Linda mengakui perjalanan perniagaan tidak mudah dan pelbagai rintangan perlu ditempuhi.

“Kami sentiasa melihat cabaran sebagai pelajaran untuk terus memperbaiki diri. Kejayaan Buttonscarves hari ini adalah kerana kami mendengar maklum balas pelanggan dan sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Linda berkata, tahun ini merupakan ulang tahun kesembilan jenama itu berada di pasaran dan pihaknya optimis Buttonscarves akan terus berkembang sebagai jenama fesyen Muslimah yang kukuh dan berdaya saing.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×