BMW i4 eDrive35 M Sport: Tampan, tapi hanya dalam bentuk EV

BMW i4 eDrive35 M Sport: Tampan, tapi hanya dalam bentuk EV

BMW i4 eDrive35 M Sport
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNTUK yang sudah lama setia dengan BMW 3-Series, pastinya mereka mahukan sesuatu yang berlainan dan memang ada, BMW i4.

Sayangnya, BMW cuma ada varian elektrik sahaja untuk model ini. Adakah ia mampu menggantikan model legasi 3-Series mereka? 

BMW i4 atau kod modelnya, G26 BEV mula ditawarkan ke pasaran global sejak tahun 2024 dan memang ia hanya dikhususkan untuk menggunakan tren kuasa elektrik sahaja.

Platform CLAR (Cluster Architecture) oleh BMW digunakan untuk menjimatkan masa dan kos pembangunan kerana platform itu mampu menggunakan tren kuasa enjin biasa, hibrid dan elektrik sepenuhnya.

Bahagian badan i4 pula diasaskan dari model BMW 4-Series Gran Coupe dan kerana ia mempunyai reka bentuk teknikal yang hampir sama seperti model-model 3-Series berenjin, ia boleh dipasang di kilang yang sama seperti model-model tradisional BMW yang lain.

Varian yang diuji kali ini ialah i4 eDrive35 M Sport yang telah dikemas kini. Contohnya, gril hadapan itu mempunyai corak berlian sementara lampu hadapan kini menggunakan lampu adaptif LED dengan teknologi Selective Beam, dengan lampu DRL LED di sebelah dalamnya.

Di bahagian belakang pula, lampu LED yang cukup menggiurkan. Mungkin ada pemilik yang sanggup duduk berjam-jam menghayati lampu belakang tersebut.

Roda aloi seinci lebih besar sekarang (19-inci) tetapi bamper-bamper kekal sama.

Ruang kabin menerima stereng baharu yang lebih sporty. Corong pendingin hawa sekarang sama seperti di dalam BMW 3-Series Facelift iaitu lebih kemas, ringkas dan menarik. Sayangnya, tombol pengawal haluan udara nampak dan terasa murah.

Skrin-skrin premium besar tercatuk di atas papan pemuka dalam gaya yang lebih kontemporari. Secara keseluruhan, kabin dalam i4 nampak jelas mewah dan eksklusif dari segi kualiti, reka bentuk dan bahan yang digunakan langit dengan bumi dari jenama-jenama Jepun dan semestinya, China.

Satu motor elektrik 286hp dan 400Nm diletakkan di gandar belakang, khusus untuk memberikan gaya pemanduan tradisional BMW.

Halaju maksimum dibataskan ke 190 kilometer sejam (kmsj) dan pecutan 0-100 kmsj mampu dicapai dalam masa enam saat. Sistem gantungan M Sport yang dibekalkan secara standard lebih dari mampu untuk memberikan kawalan yang baik kepada kenderaan elektrik (EV) ini.

Di selekoh, berat lebih dari dua tan ini akan dirasakan jika benar-benar dipandu secara maksimum. Pemanduan agresif akan memberikan impak kepada sistem brek dalam jangka masa panjang, sekali lagi kerana berat kenderaan elektrik ini.

Walaupun berat masih menjadi musuh utama, tetapi BMW sudah hampir berjaya membuatkan EV mereka terasa seperti kereta normal. Cuma jika dipandu lebih laju, maka defisit pengendalian akibat tambahan berat akan terasa.

Bateri lithium-ion sebesar 70.3 kWh memberikan jarak gerak 500 km (WLTP) dengan pengecas AC 11 kW dan DC 180 kW.

Kelengkapan keselamatan terdiri dari sistem ADAS lengkap dan beberapa ciri-ciri bantuan pemanduan BMW yang terbukti.

Pemanduan harian di dalam bandar ialah fokus utama i4 ini kerana ia selesa dan terasa lapang di dalamnya. 

Pecutan agresif hasil dari tren kuasa elektrik memang mengujakan di dalam bandar, tetapi yang paling penting, i4 ini nampak cantik dan itu yang membuatkan ramai membelinya.

Jika anda jarang berjalan ke luar daerah yang tidak ada banyak pengecas, mungkin anda boleh memikirkan berhijrah ke EV sebentar dan mencuba kerana yang pasti, i4 ini lebih menarik dari ribuan 3-Series yang ada di atas jalan raya kita.

 

Spesifikasi:

BMW i4 eDrive35 M Sport

Bateri: Lithium Ion 70.3kWh

Motor elektrik: Tunggal pada gandar belakang

Tenaga maksimum: 286hp 

Daya kilas maksimum: 400Nm

Transmisi: Automatik

Pecutan 0-100kmsj: 6.0 saat

Halaju maksimum: 190kmsj

Jarak gerak: 500 km

Harga: RM294,800 tanpa BSI (BMW Service Inclusive).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN