KUALA LUMPUR: Betamek Bhd, sebuah pengeluar reka bentuk asli (ODM), mengintai Thailand dan Vietnam sebagai pasaran utama dalam sektor automotif dan kini sedang berunding dengan beberapa syarikat bagi meneroka peluang kerjasama.
Pengarah Urusannya, Mirzan Mahathir berkata, perbincangan perlu dijalankan secara berperingkat, namun matlamat utama syarikat tidak terhad kepada rantau ASEAN sahaja.
“Buat masa ini, perbincangan dengan syarikat di Thailand dan Vietnam masih berlangsung. Kami belum menetapkan tarikh muktamad untuk sebarang perjanjian kerana proses ini memerlukan penelitian yang teliti.
“Kerjasama bukan sahaja penting untuk menembusi pasaran baharu, tetapi juga bagi membawa masuk teknologi baharu ke dalam produk kami.
“Sebagai contoh, kami telah menjalinkan kerjasama dengan Shenzhen Zhonghong dari China selama lebih 17 tahun. China mempunyai pasaran automotif yang besar dan dinamik dan kami belajar daripada pengalaman mereka untuk menambah baik produk kami,” katanya semasa sidang media Pelancaran Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) baharunya di Rawang Selangor.
Jelasnya, melalui kerjasama penyelidikan bersama, Betamek dapat menggabungkan teknologi dan ciri baharu yang sesuai dengan pasaran tempatan.
Sementara itu, Betamek telah menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu dan dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi memperkukuh inovasi tempatan serta memajukan teknologi automotif generasi baharu.
Kemudahan itu dibiayai menggunakan hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) syarikat selepas penyenaraiannya pada 2022.
Ia dibangunkan untuk mempercepatkan penyelidikan dalam aplikasi telematik, mobiliti berhubung internet benda (IoT) serta penyelesaian penderia maju, sejajar dengan keperluan industri automotif yang semakin berkembang.
Mengulas lanjut, Pengerusi Betamek, Ahmad Subri Abdullah berkata, pengembangan R&D itu selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020, yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau bagi penyelidikan, pembangunan dan inovasi automotif.
“Dengan memanfaatkan kemajuan terkini dalam elektronik automotif, kemudahan baharu ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri, selain menggalakkan kerjasama dengan pemegang taruh utama termasuk pengeluar automotif, rakan teknologi dan institusi akademik,” katanya.-UTUSAN










