Bermula dengan RM100,000, kini aset Kreatech bernilai RM1 juta

Bermula dengan RM100,000, kini aset Kreatech bernilai RM1 juta

NORHISYAMSUL Mohamad meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera perisian untuk memulakan perniagaan dan membawa kepada penubuhan Kreatech.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMODALKAN RM100,000 untuk memulakan perniagaan dalam industri pencetakan pakaian pada 2019, Kreatech Sdn. Bhd. (Kreatech) kini mempunyai aset bernilai RM1 juta terdiri daripada empat premis terletak di Taman Medan di sini termasuk kilang dan mesin.

Dari segi tenaga kerja, bermula dengan seorang pekerja, kini syarikat tersebut mempunyai 12 kakitangan.

Penambahan aset-aset itu membolehkan Kreatech melebarkan sayap perniagaan daripada teknik sulaman kepada sublimasi iaitu penggunaan mesin cetak berteknologi terkini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kreatech, Norhisyamsul Mohamad berkata, teknologi canggih ini membolehkan pelbagai cetakan dibuat termasuk menghasilkan bendera.

“Terbaharu, ia boleh cetak di atas plat besi bagi menjadikan rangka yang membuatkan gambar (cetakan) jadi lebih lawa.

“Penggunaan mesin cetak sublimasi ini sekali gus membantu perniagaan saya berkembang lebih luas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau sebelum ini makan gaji sebagai jurutera perisian di syarikat swasta dan terlibat dalam projek-projek membabitkan sistem perkapalan, sistem mesin dan sistem rangkaian.

Pada 2017, beliau tekad meninggalkan kerjayanya lalu memulakan perniagaan dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan alat tulis sebelum mengorak langkah membuka Kreatech, dua tahun kemudian.

Bagaimanapun, kejayaan dalam perniagaannya bukan datang bergolek di depan mata begitu sahaja.

Banyak rintangan perlu ditempuh dan perniagaannya juga bermula dari skala kecil.

Antara cabaran utama dihadapinya dalam pasaran terbuka adalah dari aspek persaingan harga kerana mempunyai banyak segmen antaranya jumpa terus (walk-in), jualan langsung dan ejen.

Sehubungan itu, beliau lebih fokus kepada kepada segmen korporat dan tender.

“Saya tidak mahu ambil banyak risiko disebabkan kena bersaing dari segi harga. Apabila fokus berbeza sedikit, kita boleh mempelbagaikan perniagaan dan buat unjuran lebih awal.

“Apabila ada tender, kita tahu segmen kita ke mana, berapa kuantiti,” jelasnya.

Tidak lokek berkongsi petua perniagaan, Norhisyamsul memberitahu, untuk berjaya dalam perniagaan, perlu mendapat sumber yang betul dan tepat.

“Teknologi yang digunakan juga kena betul kerana kita perlu sentiasa bersaing bagi menghasilkan produk berkualiti.

“Keutamaan Kreatech adalah masa dan kualiti. Kalau tumpukan kedua-dua perkara ini, perniagaan akan kekal,” katanya.

Menurut beliau, syarikatnya banyak bekerjasama dengan pengeluar dari China dari segi perolehan material dan kepakaran.

“Fabrik pula kami bekerjasama dengan pengeluar dari Indonesia yang diketahui umum menghasilkan produk lebih berkualiti,” katanya.

Berikutan kualiti terbaik dan ketepatan dari aspek masa pembekalan, Kreatech diberi kepercayaan oleh beberapa syarikat korporat dan kementerian sebagai pembekal.

Antara pelanggannya adalah sebuah syarikat yang bertanggungjawab membekalkan tenaga di negara ini dan sebuah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan.

Tidak seperti usahawan lain yang lebih cenderung meletakkan sasaran untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan, Norhisyamsul mengimpikan mahu melahirkan ramai usahawan baharu terdiri daripada anak-anak muda Melayu.

Buat masa ini katanya, beliau sedang melatih dua orang berusia bawah 30an ke arah itu yang memberi tumpuan kepada percetakan digital dan fabrik.

“Tahun ini mereka masuk tender-tender yang lebih pada fabrik. Saya akan beri panduan termasuk permohonan pinjaman bank.

“Kalau dua calon ini berjaya, insya-Allah akan lebih ramai usahawan akan saya latih,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN