Berbelanja ikut kemampuan, elak pembaziran

Berbelanja ikut kemampuan, elak pembaziran

Makanan yang dikumpulkan oleh MYSaveFood.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali tiba bulan Ramadan, bazar Ramadan menjadi tumpuan utama masyarakat untuk mencari juadah berbuka. 

Namun, dalam keterujaan membeli, ramai yang terikut-ikut dengan trend hingga berbelanja melebihi keperluan, sekali gus menyebabkan pembaziran makanan yang semakin membimbangkan.

Fenomena ini sering dikaitkan dengan budaya Fear of Missing Out (FOMO), di mana ramai individu membeli makanan yang tular di media sosial tanpa mempertimbangkan kemampuan dan keperluan sebenar. 

Pelajar universiti awam, Nur Hidayah Mohd. Bozid, 25, berkata, budaya FOMO semakin ketara dalam kalangan masyarakat, terutama di bulan Ramadan.

Katanya, apabila terdapat makanan atau minuman yang tidak menepati selera atau dibeli secara berlebihan akhirnya akan terbuang begitu sahaja.

“Zaman sekarang, banyak makanan yang tular di media sosial dan ramai yang rasa terpaksa beli sebab takut ketinggalan atau tak nak dianggap tidak mengikuti trend. Walaupun tidak tahu rasa atau tidak berkenan, orang tetap membeli makanan yang viral ini.

“Masalahnya, bila makanan tersebut tidak menepati jangkaan atau tidak sedap, ia akan dibuang begitu sahaja. Ini menyebabkan pembaziran yang besar, terutama di bulan Ramadan yang sepatutnya mengajar kita untuk lebih bersyukur dan berhemat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Nur Hidayah berkata, masyarakat lebih bijak dalam me­­milih makanan di bulan Rama­dan dengan membeli me­ngikut kemampuan dan ke­perluan, bukannya kerana trend se­mata-mata.

Menurutnya, Ramadan adalah waktu untuk lebih bersyukur dan mengurangkan pembaziran, bukan hanya dari segi wang, tetapi juga dari segi sumber. 

“Pihak berkuasa dan peniaga disarankan untuk memainkan peranan dalam mengawal pembaziran makanan, antaranya dengan menyediakan pilihan saiz hidangan yang lebih kecil atau menawarkan inisiatif sedekah makanan kepada golongan memerlukan,” katanya. 

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Nurul Atikah Mohd. Azlan, 25, berkata, berbelanja di bazar Ramadan merupakan satu pengalaman istimewa kerana ia hanya dapat dinikmati setahun sekali, namun perbelanjaan perlu diuruskan dengan bijak agar tidak berlaku pembaziran.

Katanya, sebagai pembeli yang bijak, dia mencadangkan supaya orang ramai merancang perbelanjaan sebelum pergi ke bazar Ramadan.

“Membuat senarai makanan yang diperlukan dapat menghindarkan kita daripada membeli secara berlebihan kerana terlalu mengikut hawa nafsu. Kita juga perlu menilai sama ada makanan yang dibeli benar-benar bermanfaat atau sekadar mengikut trend semata-mata.

“Dengan cara ini, kita dapat memastikan bahawa pembelian kita selari dengan keperluan diri dan mengelakkan pembaziran. Pembaziran makanan bukan sahaja merugikan dari segi kewangan, tetapi juga bertentangan dengan ajaran Islam yang menekankan kesederhanaan dan kebijaksanaan dalam pengurusan kehidupan harian,” ujarnya.

Nurul Atikah turut menekankan bahawa amalan membeli makanan berlebihan memberi kesan buruk kepada alam sekitar kerana pembaziran makanan memberi impak negatif terhadap sumber daya alam.

“Dalam konteks ini, berbelanja dengan penuh tanggungjawab bukan sahaja memberi kesan positif kepada diri sendiri, tetapi juga kepada masyarakat dan alam sekitar. 

“Oleh itu, setiap pembelian di bazar Ramadan perlu dilakukan dengan penuh kesedaran, menghargai setiap rezeki yang diberikan dan mengelakkan amalan membeli secara berlebihan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN