SETIAP kali menjelang musim perayaan, pastinya kita tidak melepaskan peluang untuk membuat pelbagai persiapan bagi meraikan hari istimewa bersama keluarga dan sahabat handai.
Daripada pembelian pakaian baharu, penyediaan hidangan istimewa, sehingga pemberian hadiah dan duit raya, semua ini memerlukan perancangan kewangan yang rapi.
Menjadi persoalannya, adakah kita berbelanja secara berhemah berdasarkan keperluan, atau cenderung untuk berbelanja berlebihan sehingga membebankan kewangan selepas musim perayaan berakhir?
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, perbelanjaan pengguna kebiasaannya menunjukkan peningkatan ketara pada suku kedua setiap tahun, didorong oleh sambutan Aidilfitri yang berlangsung dalam tempoh tersebut.
“Berdasarkan pemerhatian dalam lapan tahun terakhir, perayaan Aidilfitri disambut antara April hingga Jun, yang secara langsung menyumbang kepada lonjakan perbelanjaan swasta.
“Data menunjukkan dalam tempoh tersebut, perbelanjaan swasta meningkat lebih tinggi pada suku kedua bagi enam daripada lapan tahun yang dianalisis.
“Peningkatan perbelanjaan ini memberikan kesan positif kepada ekonomi apabila setiap perbelanjaan pengguna mendorong pertumbuhan jualan peniaga di sepanjang rantaian bekalan.
“Secara tidak langsung, ia mencetuskan permintaan terhadap tenaga kerja, bahan mentah, pengangkutan dan sektor berkaitan, sekali gus merangsang ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai supaya berbelanja secara berhemah dan mengikut kemampuan, tanpa terpengaruh dengan trend semasa atau tekanan sosial.
“Penting untuk memastikan perbelanjaan Aidilfitri dilakukan secara bijak kerana beban kewangan yang ditanggung adalah tanggungjawab individu sendiri.
“Jangan biarkan pandangan orang lain mengenai hiasan rumah, kuih-muih, atau jumlah duit raya memberi tekanan sehingga berbelanja di luar kemampuan.
“Amalan berbelanja secara berlebihan bertentangan dengan semangat Ramadan yang menekankan sifat kesederhanaan dan pengawalan nafsu,” ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, aktiviti ekonomi dijangka terus meningkat setiap tahun, terutama didorong oleh kuasa beli pengguna dalam sektor runcit, borong, makanan dan minuman, kenderaan serta pengangkutan dan logistik.
Menurutnya, sambutan tahunan mendorong lonjakan perbelanjaan apabila peniaga mengambil peluang melariskan jualan dengan pelbagai tawaran menarik, termasuk produk baharu dan jualan lelong stok lama.
“Namun, perbelanjaan di luar kemampuan kekal menjadi isu utama berikutan kemudahan kredit seperti pinjaman peribadi, kad kredit dan skim beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) yang semakin tidak terkawal.
“Kerajaan perlu memperketat peraturan berkaitan BNPL dan kemudahan kredit bagi mengelakkan kes muflis meningkat, selain mempergiatkan kempen kesedaran kewangan oleh agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Pendidikan kewangan harus diterapkan sejak di bangku sekolah rendah kerana dalam era ekonomi digital, masyarakat mudah terjerat dengan penipuan kewangan termasuk sindiket along haram yang sentiasa mencari mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, ramai pengguna lebih memilih kepada ‘window shopping’ daripada membeli terus demi menjaga kewangan mereka pada tahun ini.
“Promosi dan diskaun yang ditawarkan oleh peniaga sempena Ramadan dan Aidilfitri juga dilihat kurang menarik minat pengguna, dengan sebahagian besar pembeli masih merasakan harga barangan kekal tinggi,” katanya.
Beliau menyarankan pengguna agar berbelanja secara bijak serta menyokong produk tempatan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.
“Kita harap rakyat memilih produk berkualiti dengan harga yang berpatutan dan pada masa sama, menyokong perniagaan tempatan supaya ekonomi dalam negara terus berkembang.
“Bagaimanapun, DPMM menyambut baik pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,700 bermula bulan lalu oleh kerajaan dalam memastikan keseimbangan kuasa beli rakyat serta daya tahan peniaga menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya.-UTUSAN










