PETALING JAYA: Kerjasama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (Paynet) dan Ant International membuka ruang baharu kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia dengan lebih 80 peratus penggunaan QR rentas sempadan melalui DuitNow, dimana Alipay+ sebagai penyumbang utama.
Menurut kenyataan bersama syarikat berkenaan, kerjasama tersebut membantu perniagaan Malaysia meningkat enam kali ganda dalam industri pelancongan Disember tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.
“Pada Oktober 2023, Alipay+ menawarkan pembayaran rentas sempadan dan pendigitalan di bawah Ant International diaktifkan pada DuitNow QR, membolehkan pelancong antarabangsa membuat bayaran kepada PKS Malaysia.
“Sejak itu, jumlah rakan pembayaran Alipay+ yang menggunakan transaksi melalui DuitNow QR meningkat lebih dua kali ganda membawa lebih ramai pelanggan kepada PKS Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Terdapat 15 aplikasi antarabangsa sebagai rakan pembayaran Alipay+ boleh digunakan di Malaysia antaranya Mpay (Macao SAR, China), KBank (Thailand), Changi Pay (Singapura), Hipay (Mongolia) , Toss (Korea Selatan) diikuti tujuh aplikasi pembayaran lain.
Ketua Pegawai Pemasaran Paynet, Gary Yeoh berkata, pihaknya komited dalam membangunkan ekosistem pembayaran yang terbuka dan lancar bagi membantu perniagaan berkembang maju.
“Dengan Alipay+ sebagai aplikasi utama, DuitNow QR memperkasakan PKS bersaing di peringkat antarabangsa sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama tarikan pelancongan dan beli-belah,” katanya.
Menurut Pengurus Besar Asia Tenggara, Australia dan NewZealand, Ant International, Edward Yue pula berkata, selain pertumbuhan ekonomi, sistem dompet digital itu menggalakkan pertukaran budaya dan menghubungkan masyarakat berbeza negara.
“Dengan Alipay+, kami membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk berhubung dengan pelanggan antarabangsa, sekali gus mendorong pertumbuhan yang lebih inklusif dalam komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN










