PETALING JAYA: AEON Co. (M) Bhd. (AEON) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pacific Trustees Berhad, pemegang amanah bagi KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT), bagi peluasan AEON Mall Kinta City di Perak.
MoU ini ditandatangani oleh Pengarah Pacific Trustees Berhad, Edward Cheah dan Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada dalam satu majlis di AEON Mall, Taman Maluri. Ia disaksikan oleh Ketua Pegawai Hartanah AEON, Lee Beng Beng dan Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong.
Valerie berkata, peluasan AEON Mall Kinta City mengukuhkan komitmen Kumpulan terhadap pertumbuhan mampan melalui inisiatif peningkatan aset.
Kata beliau, dengan meningkatkan nilai hartanah dan menarik penyewa berkualiti, Kumpulan sedang meletakkan portfolio ke arah kejayaan jangka panjang.
“Kami berbesar hati untuk menyokong visi AEON dalam mewujudkan destinasi runcit yang dinaik taraf di Perak. Tempoh pajakan yang lebih panjang mencerminkan kekuatan perkongsian kami dan menegaskan komitmen kami untuk menjana nilai jangka panjang kepada pemegang unit,” katanya dalam kenyataan.
Okada pula berkata, peluasan ini adalah satu langkah strategik dalam perjalanan pertumbuhan AEON.
Beliau berkata, Syarikat komited untuk menyediakan destinasi beli-belah yang dinaik taraf yang memenuhi permintaan pengguna moden sambil memperkukuh AEON Mall Kinta City sebagai destinasi beli-belah pilihan khususnya di Perak.
“Kami berterima kasih atas peluang untuk bekerjasama dengan KIP REIT dan Pacific Trustees, yang sokongannya sangat penting dalam merealisasikan peluasan ini,” katanya.
AEON Mall Kinta City, yang merupakan AEON Mall pertama di Perak, memulakan operasinya pada 1997. Ia akan menjalani peningkatan yang ketara termasuk penambahan lot runcit baharu, penambahbaikan kawasan umum serta peningkatan kemudahan. Projek peluasan itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun selepas perjanjian ditandatangani.
Selain peluasan itu, AEON juga telah memperbaharui tempoh pajakan bagi bangunan sedia ada serta akan memeterai pajakan utama bagi ruang baharu. Sebagai sebahagian daripada MoU, AEON akan memasuki perjanjian pajakan jangka panjang, sekali gus menekankan komitmen jangka panjangnya terhadap lokasi itu serta perkongsian erat dengan KIP REIT. – UTUSAN










