RUMAH kecil atau pun tiny home adalah kediaman yang padat dan direka bentuk dengan cekap bertujuan untuk memaksimumkan fungsi dan meminimumkan ruang sambil menyediakan semua kemudahan penting untuk kehidupan yang selesa.
Ia juga sering dikaitkan dengan gaya hidup yang minimum dengan memiliki lebih sedikit supaya apa yang anda miliki tidak menjadi milik anda.
Dalam erti kata lain, memiliki barang yang lebih sedikit dapat mengurangkan bebanan untuk penyelenggaraan pada masa hadapan.
Oleh itu, wujudkan konsep tiny home, rumah kontena, rumah kabin dan sebagainya.
Pengurus Golden Sharp Innovation, Saif Muhtar berkata, konsep tiny house biasanya adalah rumah dengan keluasan 500 kaki persegi ke bawah.
Katanya, pihaknya mempunyai pengalaman kira-kira 10 tahun dalam menyediakan rumah kabin menyaksikan penerimaan berkaitan rumah kabin ini semakin meningkat walaupun belum lagi menjadi satu trend.
Jelasnya, kabin adalah pilihan yang paling murah dan harganya boleh mengalahkan sistem binaan berindustri (IBS) dalam pasaran.
“Kalau pembinaan biasa di lokasi, ia melibatkan peralatan, pengangkutan serta tenaga kerja di sana yang boleh memakan kos. Bagi rumah kabin kami, ia dibina di kilang kami di Klang dan kemudian akan dihantar kepada pelanggan menggunakan lori kren.
“Saiz maksium adalah 10×20 kaki kerana itu adalah saiz yang muat di atas lori tersebut. Bagaimanapun, bagi pelanggan yang mahu rumah yang saiz besar sedikit boleh membeli dua kabin saiz ini dan kemudian di pasang di lokasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Saif berkata, pihaknya melihat downsizing atau pengecilan rumah disebabkan oleh beberapa faktor termasuk peningkatan populasi dan kekurangan tanah yang mendorong idea kreatif dalam penggunaan ruang.
Beliau tidak menafikan rumah kabin dapat menjadi pilihan yang mampu milik bagi mereka yang ingin membina rumah berbanding membangunkan secara konvensional menggunakan batu bata.
“Rumah kabin juga mempunyai pilihan untuk alihkan ke tempat lain dengan lebih mudah berbanding rumah yang dibina secara kekal.
“Bagaimanapun, oleh kerana itu ia sukar untuk mendapat meter elektrik yang kekal daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan biasanya akan mendapat meter dengan status sementara yang menyebabkan kadar bil lebih tinggi.
“Mungkin perkara ini dapat dilihat semula oleh pihak berkenaan untuk pemilik kabin yang menggunakannya sebagai rumah untuk ditinggal sendiri,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pelanggannya ketika ini adalah 60 peratus daripada perniagaan dan 40 peratus lagi terdiri daripada persendirian.
“Untuk persendirian yang membina rumah kabin untuk sendiri di situ, ada yang menjadikan homestay (inap desa) dan menyediakan rumah supaya senang untuk saudara mara datang berkunjung di rumah,”
Tambahnya, harga rumah kabin bersaiz 10×20 kaki yang lengkap bilik air, pendawaian termasuk poin untuk pendingin hawa, poin pemanas air dan paip sink boleh didapati pada harga serendah RM16,200.-UTUSAN










