Ringgit dijangka berada pada RM4.36 minggu hadapan 

Ringgit dijangka berada pada RM4.36 minggu hadapan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka akan bergerak ke arah paras menyokong iaitu RM4.36 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu hadapan.

Pada pukul 5 petang, ringgit mengukuh kepada 4.4150/4200 berbanding 4.4270/4320 pada penutupan Khamis lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, nilai ringgit berbanding dolar AS dijangka meningkat sebanyak 0.4 peratus berbanding Jumaat minggu lalu kepada RM4.4170. 

“Peningkatan ini berlaku meskipun pihak Rizab Persekutuan (Fed) dijangka akan mengekalkan kadar faedah dalam tempoh terdekat disebabkan kedudukan ekonomi AS yang baik serta kadar inflasi yang masih lagi berada di atas paras sasaran dua peratus.

“Bagaimanapun, pentadbiran yang baharu di bawah pimpinan Presiden AS, Donald Trump dijangka akan melaksanakan dasar import tarif yang tinggi dengan pendekatan lebih bersasar dan beransur-ansur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Selain itu, jelas Mohd. Afzanizam, usaha Trump untuk mengakhiri perang di Ukraine juga dilihat dalam perspektif yang positif oleh pasaran kewangan meskipun ia menimbulkan rasa kurang senang pentadbiran Ukraine dan dalam kalangan para pemimpin di Kesatuan Eropah. 

“Sekiranya momentum positif ini dapat dikekalkan maka ringgit berbanding dolar AS dijangka akan bergerak ke arah paras sokongan iaitu RM4.36 pada minggu hadapan. 

“Namun, beberapa kakitangan Fed dijangka akan berucap di dalam forum umum dan pendapat mereka berkenaan hala tuju kadar faedah dan dasar monetari AS dilihat mampu membei impak kepada pasaran kewangan termasuklah pasaran mata wang asing. 

“Justeru, sentimen yang berhati-hati dijangka akan berterusan pada minggu hadapan,” katanya. 

Sementara itu, Penganalisis ekonomi dan Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ringgit dijangka mengukuh sekitar RM4.41 minggu ini kerana data ekonomi dari AS yang menunjukkan ketidaktentuan dari segi prospek ekonominya, menyebabkan dolar yang merudum. 

“Prestasi korporat yang tidak menepati sasaran yang membayangkan perbelanjaan pelanggan tidak meningkat, yang boleh menjadi petanda kepada ekonomi merudum dan tanda-tanda penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan,” katanya.

Ahmed Razman turut menjangkakan ringgit mengukuh pada 4.40 minggu hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN