MUKADIMAH
MALAYSIA terus memperkukuh daya saing dalam sektor Mesyuarat, Insentif, Persidangan, Dan Pameran atau ‘Meetings, Incentives, Conferences, and Exhibitions’ (MICE) dengan pelaburan besar dalam pembangunan fasiliti acara seperti Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
MITEC yang diterajui oleh Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. (Qube) telah menjadi hab ekonomi utama penganjuran acara perniagaan berprofil tinggi seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW), Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo), dan Sidang Kemuncak Malaysia-China (MCS) 2024.
Infrastruktur bertaraf dunia ini bukan sahaja menjadi tarikan utama untuk acara global malah berkemampuan untuk menampung operasi dan logistik acara yang berskala besar.
Wartawan Utusan Malaysia, HENDRA WINARNO berpeluang menemu ramah
Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd., RICHARD TEO untuk berkongsi lebih lanjut berkenaan topik ini.
UTUSAN: Malaysia semakin dikenali sebagai destinasi pilihan Asia bagi acara perniagaan MICE terkemuka. Apakah strategi utama yang boleh memastikan negara ini kekal kompetitif di tengah persaingan global dan bagaimana Qube menyokong usaha ini?
RICHARD: Qube telah menjadi pemacu utama transformasi ekonomi Malaysia menerusi industri MICE.
Penganjuran acara perniagaan terkemuka oleh Qube telah mendukung aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan Asia bagi acara perniagaan bertaraf global.
Segmen acara perniagaan ini bukan sahaja melonjakkan jenama Malaysia sebagai destinasi pilihan malah turut membuka peluang perdagangan, pelaburan dan potensi pertumbuhan ekonomi.
Selaku penganjur yang berpengalaman dalam bidang pengurusan acara sejak penubuhannya pada 2005, Qube menyokong strategi ini menerusi penyediaan perkhidmatan pengurusan acara yang cekap dan profesional serta memastikan penggunaan optimum terhadap kemudahan sedia ada.
Qube juga berperanan penting dalam meningkatkan profil Malaysia di peringkat global yang terbukti melalui kejayaan MIHAS 2021 yang menerima Anugerah Organisasi Penggalakan Perdagangan Dunia (WTPO) bagi kategori Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik di Persidangan dan Anugerah WTPO ke 13 di Accra, Ghana.
Selain itu, MIHAS 2023 diiktiraf oleh Guinness World Records bagi ‘Penyertaan Terbesar Bagi Pameran Dagangan Halal’ semasa MIHAS 2024 dan menunjukkan betapa kuatnya tarikan Malaysia sebagai destinasi MICE.
Bagaimanakah Qube memanfaatkan teknologi inovatif seperti kecerdasan buatan (Al) dan lain-lain untuk meningkatkan pengalaman peserta dan penganjur?
Sebagai penyedia penyelesaian acara perniagaan, Qube memahami bahawa teknologi bukan lagi sekadar alat tambahan dalam penganjuran acara tetapi adalah asas untuk memperkasakan pengalaman peserta dan penganjur.
Dengan memanfaatkan teknologi seperti Al, Qube memastikan setiap acara yang dianjurkan adalah relevan dengan keperluan moden, selamat dan mampan.
Qube juga menggunakan teknologi Al untuk memadankan peserta, pempamer dan pihak berkepentingan berdasarkan minat yang sama, di mana membantu mempercepatkan rangkaian perniagaan dan membina hubungan yang efektif.
Selain itu, Qube turut menyediakan platform acara maya dan hibrid yang memenuhi keperluan global pada masa ini, dilengkapi dengan sistem seperti pendaftaran dalam talian, dewan pameran maya dan alatan Al bagi padanan perniagaan.
Bagaimanakah Qube menyelaraskan acara-acaranya dengan agenda transformasi ekonomi Malaysia seperti Aspirasi Pelaburan Nasional dan Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 dengan peranan MICE sebagai permacu ekonomi?
Qube telah menjadi pemacu utama transformasi ekonomi Malaysia dengan memanfaatkan acara utamanya secara strategik.
Dengan menyelaraskan inisiatifnya dengan Aspirasi Pelaburan Nasional Malaysia dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Qube memastikan usahanya memberi sumbangan bermakna kepada matlamat pembangunan ekonomi negara.
Acara-acara utama yang dianjurkan oleh Qube menjadi platform yang menyokong pertumbuhan sektor-sektor strategik dalam ekonomi negara, termasuk pelaburan, keusahawanan dan inovasi teknologi.
MIHAS, Pameran Farmaseutikal dan Penjagaan. Kesihatan Asia Tenggara (SEACARE) dan Sidang Kemuncak Malaysia-China (MCS) 2024 membuka ruang bagi syarikat-syarikat Malaysia untuk berhubung dengan pelabur dan rakan kongsi antarabangsa.
Ini mencipta peluang untuk meningkatkan eksport dan menarik pelaburan asing, sekali gus memperkukuhkan sektor ekonomi yang teras.
Sebagai tambahan kepada memacu perdagangan dan pelaburan, Qube turut menyumbang kepada penciptaan pekerjaan dan pembangunan perusahaan kecil sederhana (PKS) dengan membuka peluang bagi pengusaha tempatan untuk bersaing dalam pasaran global.
Apakah pendekatan Qube untuk membantu penganjur antarabangsa menangani cabaran logistik, budaya dan peraturan di Malaysia?
Qube menyediakan penyelesaian menyeluruh untuk penganjuran acara bertaraf antarabangsa di Malaysia dengan mengutamakan pengurusan logistik yang teliti.
Oleh itu, Qube bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan logistik terkemuka dan vendor tempatan untuk memastikan penghantaran dan pemasangan bahan pameran serta peralatan teknikal dilakukan dengan lancar selain memastikan pemilihan lokasi acara yang sesuai dan strategik selaras dengan objektif acara yang dianjurkan.
Dalam aspek pematuhan peraturan, Qube membantu penganjuran acara dengan menguruskan keperluan dokumen penting seperti permit, visa dan prosedur kastam bagi peserta antarabangsa.
Selain itu, keperluan makanan halal untuk peserta bergama Islam serta pilihan makanan yang sesuai dengan diet tertentu seperti vegetarian turut diambil kira untuk memastikan semua peserta dapat menikmati hidangan yang memenuhi keperluan kesihatan dan kepercayaan mereka.
Apakah inisiatif mampan yang telah diambil oleh Qube untuk memastikan acara yang dianjurkan mesra alam tanpa menjejaskan impak ekonomi?
Qube komited untuk mengimbangi keperluan penganjuran acara dengan matlamat kelestarian global. Beberapa inisiatif telah dilaksanakan dalam memastikan ia mencapai matlamat alam sekitar disamping mengekalkan impak penganjuran acara perniagaan terhadap ekonomi.
Penggunaan platform digital untuk pendaftaran tanpa kertas, e-tiket dan aplikasi mudah alih diperkenalkan bagi mengurangkan penggunaan kertas. Qube juga menyokong penggunaan pengangkutan awam untuk peserta acara dan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada kenderaan persendirian.-UTUSAN










