Pak Ali Durian jana hasil tinggi di platform digital

Pak Ali Durian jana hasil tinggi di platform digital

KAMARUL Zaman (dua dari kanan) menunjukkan antara durian dan buah kurma yang dijual oleh Pak Ali Durian.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNIAGAAN Pak Ali Durian Company kini semakin berkembang pesat dengan kemudahan platform digital dan mampu menjual sehingga 1,500 kilogram durian sehari menerusi TikTok Shop, membuktikan potensi besar pemasaran perniagaan dalam talian.  

Bermula sejak 2017 sebagai penjual tepi jalan, jualan Pak Ali Durian kini melonjak lima hingga sepuluh kali ganda sehari sehingga mampu memenuhi permintaan pelanggan di Kuala Lumpur dan Selangor dengan lebih efektif.

Pengasas dan Pengurus Pak Ali Durian, Kamarul Zaman berkata, perniagaannya bermula secara kecil-kecilan di kaki lima sebelum pandemik Covid-19 mengubah cara mereka berniaga. 

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan ketika itu, kami beralih kepada jualan dalam talian untuk memastikan kelangsungan perniagaan. 

“Alhamdulillah, keputusan kami ini ternyata berbaloi apabila perniagaan durian berjaya menarik lebih ramai pelanggan dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.  

“Dengan pengalaman lapan tahun dalam memilih, membuka dan menghantar durian segar, Pak Ali Durian kini telah menjadi jenama dikenali ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia

Pak Ali Durian menawarkan tujuh jenis durian yang popular, antaranya Musang King, IOI, D24, Kahwin Special, Kampung, dan Udang Merah.  

Kamarul Zaman menjelaskan bahawa keputusan untuk menjual durian secara dalam talian dibuat berdasarkan pengalamannya sendiri. 

“Sebagai penggemar durian, saya sering berdepan dengan masalah membeli durian di tepi jalan yang kelihatan elok dari luar tetapi kurang berkualiti di dalam. 

“Oleh itu, saya mengambil pendekatan membuka durian, memeriksa isinya dan membungkus hanya isi yang terbaik sebelum dihantar kepada pe­langgan. 

“Dengan cara ini, pelanggan boleh menikmati durian berkualiti tanpa perlu risau tentang isi yang tidak memuaskan,” katanya.

Menariknya, Pak Ali Durian menyediakan durian dalam dua saiz bekas iaitu 500 gram dan 1.0 kilogram. 

“Bekas 500 gram sesuai untuk dua hingga tiga orang, manakala bekas 1.0 kilogram pula cukup untuk lima hingga lapan orang makan. 

“Harga durian yang kami jual bermula serendah RM25 sehingga RM140 bergantung kepada jenis. Namun, durian bukanlah satu-satunya produk yang dijual oleh Pak Ali Durian Company. 

“Memandangkan musim durian hanya berlangsung sekitar tujuh hingga lapan bulan dalam setahun, kami turut menjual kurma ketika bulan Ramadan dan Syawal. 

“Kurma yang dijual juga dipasarkan secara dalam talian melalui media sosial dan TikTok Shop, membolehkan kami mengekalkan pendapatan se­panjang tahun,” ujarnya. 

Selain itu, beliau berkata, Pak Ali Durian turut menawarkan perkhidmatan katering untuk majlis-majlis tertentu seperti kenduri, majlis perkahwinan, serta acara korporat. 

“Kami berpengalaman dalam menyediakan durian parti untuk kumpulan antara 30 hingga 500 orang, menjadikan Pak Ali Durian pilihan utama bagi syarikat yang ingin mengadakan acara bertemakan durian,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN