MISC catat kerugian bersih RM446.2 juta pada suku keempat

MISC catat kerugian bersih RM446.2 juta pada suku keempat

MISC mencatatkan kerugian bersih pada suku keempat berikutan hasil yang lebih rendah dalam semua segmen perniagaannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  MISC Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM446.2 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 berbanding untung bersih RM627.3 juta pada suku sama tahun lalu, disebabkan hasil yang lebih rendah dalam semua segmen perniagaannya.

MISC berkata, hasil pada suku itu juga susut kepada RM3.31 bilion berbanding RM4.28 bilion pada suku itu 

Jelasnya, bagi keseluruhan tahun kewangan 2024, untung bersih kumpulan susut kepada RM1.19 bilion berbanding RM2.12 bilion, manakala hasil mereka juga jatuh RM13.24 bilion berbanding RM14.27 bilion pada tahun kewangan 2023.

“Hasil segmen luar pesisir kami merosot 52.4 peratus kepada RM419.7 juta disebabkan pengiktirafan lebih rendah hasil daripada penukaran unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) berikutan kemajuan projek yang lebih rendah selepas pencapaian minyak pertamanya pada suku ini.

“Segmen marin dan kejuruteraan berat pula susut 26.8 peratus tahun ke tahun kepada RM817.6 juta berikutan hasil yang lebih rendah daripada projek kejuruteraan berat yang sedang berjalan memandangkan beberapa projek hampir siap, membawa kepada pengurangan aktiviti dan penjanaan hasil.

“Selain itu, hasil bagi segmen petroleum dan perkapalan, serta aset gas dan segmen rumusan masing-masing susut 12.8 peratus dan 3.0 peratus kepada RM1.21 bilion dan RM849.5 juta,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia. 

MISC berkata, pendapatan segmen petroleum dan produk akan terus disokong sewa kapal jangka panjang kumpulan dan perniagaan khusus.

“Sementara itu, segmen luar pesisir disokong oleh harga minyak yang stabil dan permintaan minyak global yang mampan terus menggalakkan pelaburan dalam projek luar pesisir.

“Suku keempat 2024 menyaksikan FPSO Marechal Duque de Caxias berjaya mencapai minyak pertama dan memulakan operasi.

“Peristiwa penting ini, bersama-sama dengan hasil daripada kontrak jangka panjang sedia ada, dijangka mengukuhkan lagi prestasi kewangan segmen itu,” katanya.

Melangkah ke hadapan, MISC berkata, tinjauan untuk kadar LNGC dijangka kekal sederhana pada 2025 dipacu oleh kemasukan berterusan kapal baharu dan kelewatan bekalan tambahan daripada projek pencairan LNG baharu.

“Bagaimanapun, kadar LNGC dijangka pulih selepas 2026, didorong peningkatan beransur-ansur dalam bekalan LNG apabila projek tertangguh mula beroperasi. 

“Bagi segmen perkapalan petroleum, tinjauan keseluruhan pasaran kapal tangki untuk 2025 kekal positif, disokong permintaan yang tinggi daripada laluan semula kapal berterusan dan daripada perdagangan Atlantik-Asia serta pengembangan armada yang minimum,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata, pihaknya terus mengukuhkan daya tahan perniagaan teras dengan mendapatkan kontrak untuk LNGC binaan baharu dan mengawal unit FPSO daripada rakan kongsi mereka walaupun berdepan halangan.

“Selain itu, kami telah membangunkan perkongsian strategik untuk mengejar peluang tenaga baharu dalam rantaian nilai ammonia.

“Pada masa yang sama, persekitaran operasi yang sukar telah memberi kesan kepada prestasi kewangan kami terutamanya untuk perniagaan gas, yang membawa kepada hasil yang lebih rendah, keuntungan operasi dan aliran tunai berbanding tahun lepas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN