PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) mencapai jualan hartanah sebanyak RM2.41 bilion pada 2024, pertumbuhan 6.6 peratus daripada RM2.26 bilion pada 2023, yang juga merupakan jualan hartanah baharu tertingginya sejak 2015.
Keuntungan Selepas Cukai (PAT) juga melonjak 11.8 peratus kepada RM241 juta, memperlihatkan permintaan yang berdaya tahan untuk tawaran pembangunannya pada harga berpatutan di lokasi strategik.
Wang tunai akhir tahun, bank baki dan pelaburan jangka pendek berjumlah RM1.35 bilion serta penggearan bersih yang rendah sebanyak 0.16 kali pada 31 Disember 2024 pula mencerminkan pengurusan modal yang efektif.
Mah Sing menyasarkan jualan hartanah sebanyak RM2.65 bilion, iaitu peningkatan kira-kira 10 peratus untuk 2025.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, prestasi mantap tahun lalu menetapkan asas yang kukuh untuk 2025.
“Berbanding majoriti hartanah kediaman yang dilancarkan tahun lalu, bermula 2025 dan seterusnya, Kumpulan akan mempunyai projek yang lebih pelbagai termasuk kediaman, campuran komersil, perindustrian, dan pembangunan pusat data untuk pendapatan berulang.
“Komitmen kami terhadap nilai untuk pemegang saham diteruskan dengan dividen 4.5 sen, yang menandakan pembayaran hampir 50 peratus untuk dua tahun berturut-turut tahun.
“Kami optimis tentang 2025 dan kekal fokus pada peluang pertumbuhan yang tinggi dan mampan,” katanya dalam kenyataan.-UTUSAN










