PROJEK perumahan Iringan Bayu oleh OSK Property menampilkan konsep perbandaran hijau yang meliputi kawasan seluas 694.84 hektar, mencatatkan permintaan tinggi di pasaran dengan 70 peratus daripada 4,250 unit telah berpenghuni setakat 22 Januari 2025.
Projek perumahan ini mempunyai fasa yang dibangunkan dalam kawasan berpagar dan dilengkapi kawalan keselamatan yang memberi ketenangan kepada penduduk.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pembangunan Hartanah OSK Property, Ong Ghee Bin berkata, projek itu turut direka dengan konsep kehidupan lestari dan komuniti sihat.
“Antara kemudahan utama yang disediakan, termasuk Taman Wetland Iringan Bayu seluas 8.90 hektar, taman landskap, trek joging, pusat refleksologi, dek yoga, gimnasium terbuka, taman permainan kanak-kanak serta gelanggang serbaguna.
“Kemudahan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penghuni tetapi juga menyokong gaya hidup sihat dan aktif dalam persekitaran yang lebih hijau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, Iringan Bayu sedang berkembang secara berperingkat, dengan fasa terbaru terdiri daripada Aleria (Fasa 16) dan Reveria (Fasa 15A dan 15B), sementara fasa-fasa terdahulu seperti Irumia, Ledaya, dan Seriya telah mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Fasa 12 dan 13 yang telah habis dijual terdiri daripada rumah teres satu tingkat, masing-masing dengan 239 unit seluas 20×65 kaki dan 1,000 kaki persegi dengan harga bermula dari RM250,000 dan 241 unit (20 kaki x 70 kaki, 1,202 kaki persegi, harga dari RM400,000).
“Selain itu, Fasa 14, yang hanya berbaki dengan unit terhad, memperkenalkan rumah teres dua tingkat dengan 162 unit seluas 18 kaki x 65 kaki dan 1,657 kaki persegi dengan harga bermula dari RM417,070.
“Sementara itu, Fasa 15A dan 15B menawarkan rumah dua tingkat dengan spesifikasi yang sama, iaitu 20×65 kaki dan 1,808 kaki persegi, tetapi berbeza dari segi harga, iaitu bermula dari RM477,720 sebanyak 290 unit bagi Fasa 15A, manakala 137 unit bermula dari RM488,520 untuk Fasa 15B. Kedua-dua fasa baharu ini kini dibuka untuk jualan.
“Akhir sekali, Fasa 16, fasa terkini di Iringan Bayu, menampilkan rumah teres dua tingkat dengan keluasan lebih besar iaitu 20×70 kaki dan 1,961 kaki persegi, dengan harga bermula dari RM518,220 untuk 212 unit,” katanya.
Usaha OSK Property dalam membangunkan perbandaran hijau telah diiktiraf di peringkat industri, apabila Iringan Bayu merangkul Anugerah FIABCI Malaysia Property Awards 2024 dalam kategori Alam Sekitar bagi Taman Wetland Iringan Bayu.
Selain itu, projek ini adalah projek pertama di Negeri Sembilan yang dianugerahkan Anugerah Gangsa GreenRE, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen terhadap kelestarian, termasuk penggunaan tenaga solar untuk pencahayaan di taman dan amalan pembangunan yang lebih mesra alam.
Dengan permintaan yang tinggi serta konsep pembangunan yang mengutamakan kesejahteraan komuniti, Iringan Bayu dijangka terus berkembang sebagai salah satu perbandaran moden yang paling berdaya saing di Negeri Sembilan.-UTUSAN










