Ford Bronco Raptor: Lebih baik dari Wrangler!

Ford Bronco Raptor: Lebih baik dari Wrangler!

FORD Bronco Raptor terasa stabil dan meyakinkan di atas permukaan berpasir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH sekian lama Jeep Wrangler menjadi ikon offroad dari Amerika Syarikat (AS).

Wrangler bukan hanya mempamerkan rekabentuk tradisional sebuah jip, tapi ia juga mengutamakan kebolehan untuk melalui laluan offroad berbatu yang menjadi hobi penggemar tegar kenderaan genre tersebut.

Sayangnya, cara pemanduan Wrangler kekal tradisional, di mana di atas laluan berturap, ia sukar dipandu laju dan di atas lebuh raya, ia selesa sedikit dari pedati kuda.

Muncul Bronco, satu nama lama untuk Ford yang kini diperkenalkan semula. Ia masih sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz kompak (untuk pasaran AS), tetapi dengan kerangka, enjin dan teknologi terkini.

Penulis berpeluang merasai sendiri varian paling agresif untuk model tersebut, Bronco Raptor di sekitar padang pasir di Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan merasakan ia sepatutnya menjadi sebuah model global yang mempunyai tempat di rantau ASEAN.

Bronco Raptor dibina di atas platform yang sama seperti Ranger Raptor yang dijual di Malaysia. Malah enjin yang digunakan juga sama – enjin 3.0 liter V6 Twin Turbo tetapi menghasilkan tenaga yang lebih tinggi – 418 hp dan 597 Nm.

Transmisi kekal 10 kelajuan automatik dengan tujuh mod pemanduan atau apa yang Ford gelarkan sistem GOAT (Go Over All Terrain). Mungkin ia seperti kambing gurun, yang mampu memanjat tebing batu curam tanpa masalah.

Pertama kali diperkenalkan dalam 2022, Ford Bronco Raptor sebenarnya dibangunkan dengan kerjasama Ford Australia. Walaupun kerangka Ranger Raptor digunakan, bahagian sistem gantungan diambil dari F150 Raptor kerana saiz tayar 37 inci itu hanya digunakan oleh trak pikap gergasi tersebut.

Bahagian kabin nyata yang paling menarik dalam keluarga Raptor. Ia segar dengan reka bentuk moden bercirikan karakter offroad, sementara sistem audio pula ditala oleh Bang & Olufsen.

Seperti Wrangler, kesemua pintu Bronco Raptor dan juga bumbung boleh ditanggalkan jika mahu. Tidak seperti Wrangler, keselesaan penumpang menjadi antara fokus utama Ford.

Ia mungkin tidak sesenyap Ranger Raptor kerana bumbung yang boleh ditanggalkan itu akan menghasilkan bunyi angin yang kuat pada kelajuan lebuh raya, tetapi ia masih selesa seperti trak pikap Ranger walaupun menggunakan tayar-tayar gergasi.

Keluar dari laluan berturap, penulis berpeluang menggunakan Baja Mode di mana prestasi enjin itu terbukti membolehkan ia melalui segala kesukaran yang dilalui.

Aktiviti rock-climbing juga dilakukan dengan mudah tanpa menyentuh sebarang bahagian SUV tersebut. Mungkin laluan itu sudah direka untuk Bronco Raptor tetapi yang pasti, Ranger Raptor dan F150 Raptor tidak mampu melepasi halangan yang tersedia.

Di atas permukaan berpasir, Bronco Raptor terasa stabil dan meyakinkan. Penulis boleh memandu laju tanpa risau kerana ia mempunyai cara pemanduan yang cukup meyakinkan.

Penggunaan bahan api pastinya tinggi – tayar dan fender yang lebar serta cermin hadapan yang hampir tegak itu pastinya meningkatkan rintangan udara.

Penulis melihat angka 15L/100 kilometer (km) semasa sesi pandu uji di lebuh raya, teruk sedikit berbanding Ranger Raptor yang lebih menjimatkan.

Secara keseluruhan, Bronco Raptor ini menampilkan rekabentuk yang cukup agresif serta kelengkapan standard yang lengkap, bersedia untuk dibawa menerjah ke laluan 

Sistem gantungan Fox yang canggih pula memastikan punggung penumpang tidak sakit dilenjan batu-batu dan lubang-lubang dan jika perlu, mampu menyerap hentakan bila mendarat selepas melompat tinggi.

Sayang sekali Ford masih tidak ada varian panduan sebelah kanan (RHD) untuk Bronco Raptor tetapi jika media dari Asia Tenggara, Afrika Selatan dan Australia dibawa ke UAE untuk mencuba Bronco Raptor, ini bermakna mesti ada ura-ura untuk memperkenalkan versi RHD untuk SUV yang menakjubkan ini!-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×