ES Sunlogy tampil pada 30.5 sen di Pasaran ACE

ES Sunlogy tampil pada 30.5 sen di Pasaran ACE

ES Sunlogy penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal membuat penampilan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ES Sunlogy Berhad (ES Sunlogy) penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) membuat penampilan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada 30.5 sen, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 30 sen sesaham. 

ES Sunlogy berjaya mengumpul RM42 juta melalui IPO dan akan memperuntukkan RM14.1 juta atau 33.6 peratus daripada hasil yang diperoleh bagi membiayai sebahagian pembangunan dan pembinaan loji solar fotovoltaik berskala besar (LSSPV) Selarong. 

Selain itu, sebanyak RM14 juta akan digunakan untuk membayar pinjaman, manakala RM9.2 juta akan menyokong keperluan modal kerja syarikat. 

Sementara itu, RM0.7 juta akan diperuntukkan untuk membeli sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) bagi meningkatkan kecekapan operasi kumpulan secara keseluruhan dan RM4 juta bagi menampung perbelanjaan IPO. 

Pengarah Urusan ES Sunlogy Berhad, Khor Chuan Meng berkata, penyenaraian tersebut merupakan satu pencapaian penting bagi syarikat dalam usaha memperkukuh kedudukan dalam industri tenaga boleh diperbaharui.

“Kami optimis bahawa dengan keuntungan yang diperoleh daripada IPO ini, ES Sunlogy dapat mempercepatkan pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui khususnya dalam sektor solar.

“Pembangunan LSSPV Selarong dengan kapasiti 9.99 megawatt merupakan langkah strategik yang akan meningkatkan daya saing kami di pasaran, selain memperkukuh sumbangan syarikat dalam memenuhi keperluan tenaga hijau negara,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE.

Mengulas mengenai strategi pertumbuhan syarikat, Chuan Meng berkata, ES Sunlogy kini memberi tumpuan kepada projek berskala besar seperti LSS5 dan LSS6 yang dijangka memberikan pulangan positif dalam jangka panjang.

“Sejak 2017, kami telah berkembang dalam sektor tenaga solar dan kini dengan LSS5 serta LSS6,  ES Sunlogy yakin dapat terus mengukuhkan kedudukan dalam industri ini.

“Selain menjadi pemilik projek, syarikat juga melihat peluang untuk bekerjasama dengan pihak lain dalam usaha memperluaskan penyertaan kami dalam industri tenaga boleh diperbaharui,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN