Dutch Lady Milk Industries komited terhadap kelestarian

Dutch Lady Milk Industries komited terhadap kelestarian

RAMJEET KAUR VIRIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dutch Lady Milk Industries Bhd. (DLMI) komited sepenuhnya terhadap kelestarian, sejajar dengan matlamat syarikat untuk menyejahterakan planet dan manusia pada setiap peringkat kehidupan. 

Pengarah Urusannya, Ramjeet Kaur Virik berkata, berpandukan strategi global FrieslandCampina, DLMI telah merangka dasar kelestarian yang jelas serta pelan hala tuju yang disesuaikan dengan konteks Malaysia. 

Jelas beliau, DLMI telah menetapkan sasaran sementara untuk 2030 yang merangkumi keutamaan utama seperti tenaga, air, sisa dan pele­pasan dengan matlamat akhir untuk mencapai neutral iklim bersih menjelang 2050, sambil berusaha ke arah sifar bersih. 

“Seiring dengan perubahan piawaian global dan peraturan tempatan, kami kekal fokus untuk menyelaraskan usaha kelestarian kami dengan jangkaan pemegang saham dan pihak berkepentingan. 

“Kami juga memastikan struktur tadbir urus dan kawalan dalaman kami memenuhi keperluan pelaporan yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia serta peraturan baharu Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan, selaras dengan International Financial Reporting Standards (IFRS) S1 dan S2 ,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Ramjeet berkata, pada tahun ini dan 2026, tumpuan DLMI adalah untuk memperkukuhkan sistem, proses dan keupayaan yang penting bagi mempercepatkan prestasi kelestarian syarikat serta kemajuan ke arah matlamat jangka panjang. 

“Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laporan kelestarian kami yang menyeluruh dalam Laporan Bersepadu kami, yang akan diterbitkan pada April 2025,” katanya. 

Mengulas lanjut, dari perspektif perniagaan, selepas perasmian kilang pembuatan baharu  di Bandar Enstek pada Mei 2024, pihaknya telah merasionalisasikan portfolio produk memberi fokus sumber kepada produk tenusu halal berkualiti tinggi untuk pengguna Malaysia. 

“Inovasi seperti Pek Dutch Lady Sip & Seal yang baharu dilancarkan adalah sejajar dengan perubahan keutamaan pengguna.

“Kami kini dalam proses pembinaan pusat pengedaran baharu yang dijangka beroperasi pada pertengahan 2025. 

“Langkah strategik ini merupakan usaha penting yang bukan sahaja memudahkan pertumbuhan berterusan DLMI tetapi juga membuka peluang baharu untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju dalam industri tenusu Malaysia,” katanya. 

Sementara itu, Ramjeet berkata, pihaknya kekal optimis secara berhati-hati untuk tahun yang mendatang sambil terus memberi tumpuan kepada pengurusan kos dan hasil. 

“Fokus strategik ini membolehkan DLMI melabur secara signifikan dalam jenama, aset dan modal insan syarikat, mengiktiraf bahawa tenaga kerja berkualiti adalah kunci untuk mencapai matlamat jangka panjang dalam memacu peningkatan pengambilan susu di negara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN