KIRA-kira 1.95 juta lepasan universiti di negara ini bekerja di sektor lebih rendah yang tidak setimpal dengan kelulusan dimiliki mereka, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Data juga menunjukkan jumlah guna tenaga mahir yang bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah ini telah meningkat sebanyak 0.7 peratus.
DOSM berkata, jumlah itu mewakili 36.8 peratus kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran pada suku ketiga 2024 berbanding suku kedua iaitu berjumlah 1.94 juta orang atau 37 peratus.
Angka itu menunjukkan kerugian kepada guna tenaga kerja mahir di negara ini dalam membentuk keseimbangan kepakaran tenaga kerja, penyediaan peluang pekerjaan bersesuaian dan lambakan graduan yang tidak setimpal dengan keperluan industri.
Dalam konteks ini, sejauh manakah pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dapat merealisasikan peranan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan?
Terkesan dengan isu tersebut, Timbalan Pengarah (Kebolehpasaran Graduan dan Jaringan), Pusat Pembangunan Karier (UKM-KARIER) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zaleha Yazid berkata, kekurangan tenaga mahir di Malaysia semakin membimbangkan apabila sektor kritikal seperti pembuatan, teknologi hijau dan ekonomi digital menghadapi cabaran mendapatkan pekerja berkemahiran tinggi.
Jelasnya, situasi ini memberi impak negatif terhadap produktiviti negara serta menghalang aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dan hab teknologi serantau.
“Persepsi masyarakat terhadap TVET perlu diubah, kerana ramai pelajar dan ibu bapa masih melihatnya sebagai pilihan kedua.
“Kerajaan boleh menjalankan kempen kesedaran besar-besaran dengan menonjolkan kisah kejayaan graduan TVET yang kini memegang jawatan bergaji tinggi atau berjaya sebagai usahawan teknologi.
“Media sosial, tokoh masyarakat dan rakan industri boleh dimanfaatkan untuk menjadikan TVET lebih menarik dan dipercayai sebagai laluan kerjaya utama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah beliau, TVET bukan hanya sebagai alat untuk melahirkan tenaga kerja mahir tetapi juga sebagai pemangkin untuk melonjakkan daya saing ekonomi Malaysia.
“Dengan pendekatan strategik seperti memperkukuh kerjasama industri, menyediakan infrastruktur moden dan meningkatkan kesedaran masyarakat, TVET boleh menjadi penggerak utama dalam menyokong aspirasi Malaysia Madani.
“Melalui pelaksanaan saranan ini, kita dapat menangani cabaran ketidakseimbangan tenaga kerja dan memastikan Malaysia terus relevan sebagai pemain utama di peringkat global,” katanya.
Jelas Zaleha, TVET perlu menjadi instrumen utama dalam mengatasi ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran tenaga kerja di Malaysia.
“Dengan pertumbuhan pesat sektor seperti teknologi hijau, automasi dan ekonomi digital, institusi TVET boleh melahirkan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran yang diperlukan oleh industri. Sebagai contoh, sektor pembuatan berteknologi tinggi sering menghadapi kekurangan pekerja dengan kemahiran khusus dalam bidang automasi, yang boleh diatasi melalui pelaksanaan program TVET yang berorientasikan industri,” katanya.
Malah, jelasnya, TVET selari dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan pembangunan modal insan secara holistik.
“Graduan TVET bukan sahaja dilengkapi dengan kemahiran teknikal tetapi juga nilai etika, integriti, dan profesionalisme yang penting dalam membina masyarakat berdaya saing.
“Nilai-nilai ini menjadi asas kepada pembentukan tenaga kerja yang mampan, inklusif dan progresif,” katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts.Dr. Mohd. Hasril Amiruddin berkata, peranan TVET sangat penting dalam menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.
Katanya, kerajaan perlu memberi lebih banyak perhatian kepada melalui pengembangan program TVET, termasuk menyediakan lebih banyak peluang latihan dalam bidang teknikal dan pensijilan profesional atau pensijilan kompetensi yang diiktiraf atau yang sangat diperlukan oleh industri.
“Melalui TVET, graduan boleh memperoleh kemahiran praktikal yang lebih mudah disesuaikan dengan keperluan pasaran kerja semasa cenderung kepada HTHV (teknologi tinggi nilai tinggi)
“Graduan yang bekerja di sektor yang tidak setimpal dengan kelulusan mereka perlu diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka melalui program upskilling dan reskilling sesuai dengan pensijilan kompetensi Antarabangsa yang diperakui oleh industri.-UTUSAN










